Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Tawau: Pasukan keselamatan dan aset pertahanan negara kini berada dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi sebarang ancaman terhadap kedaulatan Sabah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menempatkan satu Batalion Infantri lengkap dengan kekuatan 650 anggota menerusi Briged Kawasan Keselamatan Khas timur Sabah (ESSCOM) sebaik saja kem di Felda Sahabat Lahad Datu, siap sepenuhnya.

Sehingga ini, katanya, separuh daripada kekuatan batalion berkenaan ditempatkan sementara di Kem Kukusan, di sini membabitkan 22 pegawai dan 351 anggota.

Menurutnya, meskipun penempatan sementara, Kem Kukusan itu mempunyai kemudahan yang lengkap.

"Di segi aset pula, ATM sudah siap sedia mengatur gerak aset terbaru Tentera Darat iaitu 12 kenderaan perisai AV 8X8 yang dinamakan sebagai GEMPITA.

"Kenderaan buatan Turki ini dilihat amat menepati keperluan ketenteraan moden," katanya pada sidang media selepas menyampaikan pangkat Brigadier Jeneral Kehormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dalam satu majlis di Lapangan Terbang Tawau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 6:47 PM