ZAMROSE (tengah) sempena Pengoperasian Batalion Ke-26 RAMD, di Kem Kukusan Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
ZAMROSE (tengah) sempena Pengoperasian Batalion Ke-26 RAMD, di Kem Kukusan Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Tentera Darat Malaysia (TDM) melakar sejarah tersendiri apabila secara rasmi mengisytiharkan pengoperasian Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), hari ini.

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain berkata, pengoperasian semula itu adalah pencapaian amat membanggakan selain menepati keperluan dalam meningkatkan keupayaan pertahanan negara ke tahap tertinggi.

Beliau berkata, tentera darat sentiasa meletakkan keutamaan dalam meningkatkan kesiagaan ketumbukannya sebagai persediaan menghadapi sebarang bentuk ancaman terhadap keselamatan dan kesejahteraan negara.

"Alhamdulillah, selepas tujuh tahun penubuhan semula batalion ini, kita berjaya mengisytiharkan pengoperasian Batalion Ke-26 RAMD secara rasmi, hari ini.

"Saya percaya jika setiap warga 26 RAMD memainkan peranan dengan sempurna, batalion ini akan mengecapi kejayaan cemerlang dan muncul sebagai pasukan tempur yang unggul, kompeten dan tangkas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pengoperasian Batalion Ke-26 RAMD dan Pelancaran Buku Op Daulat di Padang Kawad, Kem Kukusan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Panglima TDM Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.

Pada majlis itu, Zamrose turut merasmikan pelancaran Buku Op Daulat yang dihasilkan berdasarkan peristiwa sebenar yang berlaku semasa Operasi Daulat di Lahad Datu pada 2013.

Menurutnya, penghasilan buku itu bagi memberi gambaran sebenar insiden pencerobohan tentera Kesultanan Sulu serta mengenang jasa dan pengorbanan semua anggota keselamatan yang terbabit dalam operasi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 2:11 PM