Hishammuddin  (kanan) meninjau kawasan Lahad Datu melalui udara.
Hishammuddin (kanan) meninjau kawasan Lahad Datu melalui udara.
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Tawau: Pasukan keselamatan dan aset pertahanan negara kini berada dalam keadaan siap sedia untuk berhadapan dengan sebarang ancaman demi mempertahankan kedaulatan Sabah.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menempatkan 1 Batalion Infantri lengkap dengan kekuatan 650 anggota menerusi Briged Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) sebaik saja kem di Felda Sahabat Lahad Datu, siap sepenuhnya.

Beliau berkata, buat masa ini separuh dari kekuatan batalion berkenaan ditempatkan sementara di Kem Kukusan, di sini, membabitkan 22 pegawai dan 351 anggota.

Meskipun penempatan sementara, katanya, Kem Kukusan ini mempunyai kemudahan yang lengkap.

“Dari segi aset pula, ATM sudah siap sedia mengatur gerak aset terbaharu Tentera Darat iaitu 12 kenderaan perisai AV 8X8 yang dinamakan sebagai GEMPITA.

“Kenderaan buatan Turki ini dilihat amat menepati keperluan ketenteraan moden. Aset ini akan ditempatkan di Kem Kukusan untuk kegunaan pasukan Mekanise Tentera Darat bagi memperkasakan lagi pertahanan daratan Sabah.

“Manakala sebanyak 18 kenderaan perisai Military Infantry Fighting Vehicle (MIFV) diatur gerak sejak Disember 2014 yang lalu dan kini ditempatkan di Kota Belud.

“Selain itu, empat helikopter Agusta yang dipasang siap dengan Gatling Gun akan turut ditempatkan di Tawau, manakala Lahad Datu akan dijadikan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) bagi helikopter berkenaan,” katanya selepas menyampaikan pangkat Brigadier Jeneral Kehormat kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dalam satu majlis di Lapangan Terbang Tawau.

Hishammuddin berkata, selain itu, Sistem Pemantauan Perairan berasaskan Radar 1206 di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) sedang dinilai semula bagi mengukur tahap keberkesanan dan kemampuan sistem sedia ada.

Beliau berkata, dari segi pertahanan marin pula, projek Sea Basing akan mula dilaksanakan pada Mac ini.

Katanya, projek ini diperkenalkan bagi memudahkan pasukan keselamatan mematahkan ancaman secara berkesan di perairan Sabah berikutan faktor geografi seperti laut luas, pesisir pantai panjang serta jarak pulau di Selatan Filipina yang hampir dengan sempadan maritim Malaysia.

“Projek Sea Basing dilaksanakan melalui dua konsep iaitu di atas platform statik dan platform bergera.

“Platform statik membabitkan pelantar minyak yang sudah tidak digunakan lagi atau di atas pulau yang berkedudukan strategik di perairan timur Sabah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 8:21 AM