OBAMA  melawat pesakit  di Hospital Kanak-Kanak Kebangsaan di Washington kelmarin. - AFP
OBAMA melawat pesakit di Hospital Kanak-Kanak Kebangsaan di Washington kelmarin. - AFP
Agensi

WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama membuat kejutan dengan memakai pakaian Santa Claus dan memberi hadiah bagi menceriakan kanak-kanak yang dirawat di Hospital Kanak-Kanak Kebangsaan di sini, kelmarin.

Obama turut menyanyi lagu Krismas bersama ratusan doktor, jururawat, pekerja, ibu bapa dan kanak-kanak di hospital berkenaan.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada anda semua untuk peluang bertemu dan berbual dengan kanak-kanak istimewa serta keluarga mereka.

“Mungkin ini adalah masa yang sukar untuk anda semua, sebagai bapa kepada dua anak, saya hanya boleh bayangkan.

“Bagaimanapun, dalam situasi seperti ini, kita mempunyai doktor, jururawat dan petugas yang menjaga pesakit dengan penuh kasih sayang. Inilah semangat perayaan sebenar,” kata Obama dalam ucapan ringkasnya.

Obama kemudian melawat hospital berkenaan sambil mengedarkan hadiah. Dia membawa karung yang penuh dengan barang permainan seperti kereta kawalan jauh dan set kereta Hot Wheels.

Seorang budak perempuan juga menangis kerana terkejut apabila melihat Obama masuk ke dalam bilik.

Bekas pemimpin itu kemudian menari dengan pesakit itu yang kelihatan menutup mulutnya kerana terlalu terkejut. Apabila Obama memeluknya, kanak-kanak berkenaan terus menangis.

“Selamat menyambut Krismas dan selamat bercuti kepada anak-anak luar biasa ini, keluarga mereka dan petugas di Hospital Kanak-Kanak Kebangsaan. Terima kasih kerana menjadikan saya sebagai Santa kamu,” kata Obama di laman Twitter miliknya.

Ketua Eksekutif dan Presiden Sistem Kesihatan Kanak-Kanak Kebangsaan, Kurt Newman memberitahu Washington Post, kanak-kanak berkenaan akan bercerita mengenai lawatan itu selama bertahun-tahun.

“Ketika musim cuti dan waktu paling sibuk, tiada siapa yang mahu berada di hospital. Sifat peramah Obama menaikkan semangat kanak-kanak itu, keluarga mereka dan setiap petugas yang dia lawati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 1:00 PM