Najib berucap di Perhimpunan Khas Kementerian Kewangan di Putrajaya. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Najib berucap di Perhimpunan Khas Kementerian Kewangan di Putrajaya. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kerajaan yakin prestasi ekonomi yang diunjur berkembang antara 4.5 dan lima peratus tahun ini dapat dicapai.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ia disandarkan kepada asas ekonomi negara yang kukuh serta dasar fiskal dan kewangan yang baik.

Katanya, prospek pertumbuhan ekonomi dunia tahun ini juga dijangka lebih baik iaitu berkembang 3.4 peratus berbanding 3.1 peratus pada 2016.

"Sementara itu, perdagangan dunia dijangka meningkat sebanyak 3.8 peratus berbanding dengan 2.3 peratus pada 2016.

"Bagaimanapun, beberapa risiko akan kekal termasuk pasaran kewangan global yang semakin tidak menentu dan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam kalangan negara maju dan beberapa negara perkembangan dasar di Amerika Syarikat yang perlu diberi perhatian kita semua.

"Malaysia juga menghadapi beberapa risiko domestik di antaranya ialah lebihan akaun semasa yang semakin mengecil, penyusutan nilai mata wang ringgit, peningkatan hutang isi rumah kepada KDNK serta peningkatan kos sara hidup," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan pingat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada tujuh pegawai Kementerian Kewangan.

Najib berkata, harga minyak mentah global Brent juga menunjukkan trend peningkatan iaitu berada pada paras purata AS$55 setong sehingga 23 Januari berbanding AS$44 setong tahun lalu.

Katanya, komitmen daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC untuk mengehadkan pengeluaran dunia, harga Brent dijangka dapat dipertahankan pada paras itu atau naik sedikit pada tahun ini.

" Trend peningkatan harga juga boleh dilihat apabila ia kini mencecah purata RM3,264 setan metrik (sehingga 23 Januari 2017) berbanding RM2,650 setan metrik pada 2016,"katanya.

Menurutnya, banyak projek infrastruktur berimpak tinggi yang dalam pelbagai fasa pelaksanaan pada tahun ini perlu dilaksanakan dengan cekap, bertunjangkan komitmen kepada tadbir urus yang baik.

Projek berkenaan termasuk Pan Borneo Highway, Rapid Pengerang di Johor, Malaysia Vision Valley (MVV), Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange (TRX), projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 11:53 AM