Bagi masyarakat Cina, tanglung antara kelengkapan dan hiasan utama yang perlu disediakan setiap kali sambutan Tahun Baru Cina, di samping pesta tanglung yang sering diraikan menjelang berakhirnya perayaan itu.

Pada masa itu, setiap keluarga memasang atau menggantung tanglung di kawasan rumah untuk memeriahkan suasana. Amalan itu dipercayai mampu memberi tuah atau kehidupan yang lebih baik kepada mereka.

Seiring dengan waktu, tanglung juga melalui inovasi dari segi rupa bentuk dan penggunaan, selain turut dikomersialkan untuk tujuan dekorasi.

Jika dahulu, bentuk tang­lung terhad kepada segi empat atau bulat saja. Namun kini, tanglung direka menjadi pelbagai bentuk objek, rupa dan karakter kartun yang digemari.

Idea untuk menghasilkan tanglung daripada kertas jerami adalah peng­gabungan antara elemen kraf dengan nilai estetika dekorasi.

Tanglung ini bercirikan tradisional moden dan sesuai untuk dijadikan ­hiasan lampu dalam rumah serta pejabat berciri moden dan unik, selain menjadi hiasan di hotel.

Penghasilan tanglung daripada kertas buatan ­tangan dilihat lebih ekonomik, kreatif dan yang paling penting boleh membantu me­nyelamatkan ekosistem dunia.

Malah, material kertas buatan yang dihasilkan daripada pelbagai jenis bahan seperti serat batang pisang, batang keladi, kulit nanas, kulit jagung dan jerami padi turut dijadikan kraf lampu tanglung.

Lebih menarik, kertas berasaskan serat batang pisang melalui beberapa proses penghasilan. Serat berwarna kehitam-hitaman itu direndam hingga menjadi putih.

Ia kemudian direbus sebelum dimesin atau dikisar. Serat batang pisang yang sudah dikisar dibentuk menjadi kertas dan dikering­kan.

Jika mahu kertas pel­bagai warna, ia boleh diwarnakan ketika kertas itu masih basah. Bagi menghasilkan kertas meng­gunakan jerami padi, jerami direndam terlebih dulu.

Seterusnya dimasukkan ke mesin yang mempu­nyai campuran air. Tapis meng­gunakan penangguk ­me­ngikut saiz kertas ­diingini.

Campuran yang sempurna dapat menghasil­kan tapisan tidak berketul-ketul dan rata di atas penang­guk.

Bahan itu dikeringkan pada suhu bilik dengan melekapkan penangguk tadi secara terbalik di atas helaian kain dan ditekan supaya rata.

Helaian kain tadi ditarik secara perlahan-lahan meninggalkan jerami padi yang sudah menjadi sehelai kertas.

Maklumat lanjut ber­kaitan kertas buatan ­tangan di www.kraftangan.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:23 AM