ANTARA 70 cenderamata yang dihasilkan Azra daripada kertas daun nanas.
ANTARA 70 cenderamata yang dihasilkan Azra daripada kertas daun nanas.
AZRA menyusun buku yang diperbuat daripada kertas nanas pada pameran Majlis Perasmian Kompleks Kraf Johor.
AZRA menyusun buku yang diperbuat daripada kertas nanas pada pameran Majlis Perasmian Kompleks Kraf Johor.
Omar Ahmad

Tanaman tropika, nanas bukan saja tinggi kandungan vitamin C, malah daun tanaman kontan itu juga mempunyai serat yang tinggi.

Menyedari keistimewaan pokok nanas, pengusaha cenderahati dari Batu Pahat, Johor, Azra Hussin, 38, mengambil inisiatif menggunakan sepenuhnya daun tanaman itu dalam pembuatan setiap cenderamata yang dihasilkan.

Katanya, idea penghasilan cenderahati 100 peratus daripada daun nanas terhasil sejak memulakan perniagaan percetakan di Shah Alam, Selangor lebih 10 tahun lalu.

“Hasil penelitian bercampur hobi dan minat, saya membuat kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap daun nanas dan mendapati ia boleh dikomersialkan menjadi bahan asas dalam pembuatan cenderahati.

“Saya mula berkecimpung dalam pembuatan kraf tangan berasaskan daun nanas ini pada 2013 dan sudah menghasilkan lebih 70 jenis cenderamata berasaskan bahan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Perasmian Kompleks Kraf Johor di Johor Bahru, baru-baru ini.

Azra berkata, antara produk yang dihasilkan daripada kertas daun nanas termasuk kotak cenderahati, kotak tisu, penanda buku, bingkai gambar dan rantai kunci.

“Selain itu, bekas pensel, beg kertas dan buku cenderahati pelbagai saiz. Teknik pembuatan kertas ini tidak menggunakan sebarang bahan kimia dan menjalani proses semula jadi untuk tujuan pengeringan kertas,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Rekaan Grafik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu berkata, beliau memilih daun nanas kerana keistimewaannya yang pelbagai termasuk mempunyai kandungan serat yang tinggi, kukuh dan lebih tahan lama.

“Jika serat lain hanya boleh dibuat kertas, serat nanas ini istimewa kerana boleh menghasilkan benang. Bermula daun nanas diambil dari kebun, ia kemudian diracik atau digunting halus, direndam semalaman sebelum direbus.

“Bahan berkenaan dibiarkan selama dua hari sebelum dikisar menggunakan mesin industri bagi mendapatkan serat paling berkualiti.

“Kemudian serat nanas yang sudah dikisar dimasukkan dalam acuan sebelum dikeringkan. Jika cuaca panas, proses pengeringan serat untuk dijadikan kertas hanya mengambil masa sehari,” katanya.

Menurutnya, semua proses dari awal ini mengambil masa seminggu dan daripada lima guni putih daun nanas ia boleh menghasikan 100 keping kertas nanas.

“Kebiasaannya saya buat mengikut saiz 17 x 24 inci bagi memudahkan penghasilan membentuk pelbagai saiz cenderamata,” katanya.

Menyentuh bekalan bahan mentah khususnya daun nanas, Azra berkata, ia diperoleh daripada kebun penduduk kampung di sekitar Batu Pahat. Ia sekali gus membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.

“Saya pergi sendiri ke kebun nanas milik pekebun untuk mendapatkan daun. Kebanyakan pekebun terbabit tidak menggunakan daun nanas sebaliknya hanya mengambil nanas saja. Biasanya daun nanas dibuang atau dibakar.

“Sambutan cenderamata ini amat menggalakkan hasil penjualan dalam talian dan pameran kraf di sekitar Johor dalam sebulan saya mendapat tempahan 2,000 hingga 3,000 unit cenderahati termasuk dari Pahang serta Melaka.

“Bekalan bahan mentah setakat ini sentiasa mencukupi, tetapi saya mempunyai kekangan dari segi tenaga kerja membuat kertas nanas kerana penghasilannya rumit dan remeh berbanding kraf lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 1:54 PM