Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Seorang penuntut universiti yang juga warganegara Palestin lemas ketika mandi di Batu Layar, Bandar Penawar, Kota Tinggi dekat sini, petang tadi.

Mangsa, Abdul Rahman Al Najar, 28, dipercayai lemas kira-kira 4.30 petang akibat keadaan laut dengan ombak bergelora dan angin yang kuat.

Difahamkan, mangsa yang mengikuti pengajian doktor falsafah itu sedang bercuti di pusat peranginan di situ dan ketika kejadian terdapat 20 lagi orang ramai di lokasi, bagaimanapun dilaporkan selamat.

Menurut jurucakap bomba, pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar dengan empat anggota itu bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.32 petang.

Menurutnya, operasi menyelamatkan mangsa turut dibantu anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang tiba di lokasi pada 5.36 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 6:44 PM