D Usha lemas selepas mandi di pantai Tanjung Balau dekat Bandar Penawar, petang tadi.
D Usha lemas selepas mandi di pantai Tanjung Balau dekat Bandar Penawar, petang tadi.
Izlaily Nurul Ain Hussein

Kota Tinggi: Pekerja kilang lemas selepas mandi di pantai Tanjung Balau dekat Bandar Penawar, petang tadi.

Dalam kejadian 5.45 petang, mangsa, D Usha Letchumi, 31, dikatakan ke lokasi kejadian bersama sembilan ahli keluarganya sebelum mangsa dan empat daripada ahli keluarganya mandi di pantai sebelum dipukul ombak besar.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, selepas dipukul ombak, mangsa dipercayai lemas, namun dapat ditarik ke tepi pantai oleh seorang ahli keluarganya.

"Pasukan bomba dan penyelamat kemudian tiba untuk membantu memberi bantuan pernafasan, namun pembantu perubatan Klinik Bandar Penawar mengesahkan mangsa sudah maut di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat," katanya.

Rahmat berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, keadaan laut bergelora dengan angin kencang.

Katanya, ketika kejadian terdapat ombak setinggi satu hingga dua meter.

"Terdapat bendera merah yang sedia ada di pantai sebagai amaran larangan pengunjung bermandi-manda," katanya.

Beliau berkata, mangsa beralamat di Taman Saleng Baru, Senai, dan bekerja di kilang di Gelang Patah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 12:06 AM