London: Hugo Rodallega memberikan Fulham kemenangan dramatik mengatasi Wolves menerusi penentuan penalti 5-3 pada perlawanan ulangan pusingan ketiga Piala FA sekali gus menempah tiket bertemu Sunderland.

Pada aksi diharungi dengan perasaan sedih oleh Wolves berikutan kematian bekas pemilik kelab Sir Jack Hayward, Cauley Woodrow menanduk masuk gol pendahuluan skuad kendalian Kit Symons itu.

Dave Edwards dan Rajiv van La Parra menjaringkan gol buat Wolves sebelum Woodrow memaksa permainan diheret ke masa tambahan.

Edwards memberikan pendahuluan buat Wolves pada masa tambahan tetapi Ross McCormack memastikan keputusan terpaksa ditentukan menerusi penalti.

Fulham menyempurnakan semua lima percubaan untuk melangkah ke pusingan keempat dan bertemu Sunderland ketika Matt Doherty gagal menjaringkan gol buat Wolves.

Fulham beroleh gol pendahuluan selepas kerap mengancam kubu lawan menerusi hantaran lintang Konstantinos Stafylidis yang disempurnakan Woodrow.

Moussa Dembele hampir menggandakan kelebihan pelawat sebelum rehat, tetapi rembatannya sedikit tersasar walaupun penjaga gol Carl Ikeme sudah tertewas.

Dibantu dua pemain gantian Edwards dan Nouha Dicko, Wolves mula menyusun gerak pada babak kedua.

Dicko hampir menjaringkan gol buat tuan rumah, tetapi rembatannya sekadar mengenai jaring tepi manakala dua percubaan Wolves selepas itu mengenai palang sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-71.

Van La Parra meletakkan Wolves di depan hasil hantaran Kevin McDonald, tetapi Fulhammenyamakan kedudukan menerusi Woodrow.

Ketika salji bertambah lebat, Edwards meletakkan Wolves di depan ketika permainan memasuki minit ketiga masa tambahan.

Lee Evans terpegang bola dalam kotak penalti dan McCormack berjaya menyamakan kedudukan bagi mengheret perlawanan ke penentuan penalti. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 6:43 AM