PAMERAN Silang Budaya berlansung di Galeri Pameran Sementara, Muzium Negara sehingga 28 Ogos 2016.
PAMERAN Silang Budaya berlansung di Galeri Pameran Sementara, Muzium Negara sehingga 28 Ogos 2016.
ANTARA alat muzik yang digunakan dalam mengiringi lagu Ghazal Party.
ANTARA alat muzik yang digunakan dalam mengiringi lagu Ghazal Party.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Pameran Silang Budaya di Galeri Pameran Sementara, Muzium Negara, Kuala Lumpur baru -baru ini menarik perhatian ramai dan kini diteruskan di Kedah dan Pulau Pinang.

Pengunjung pasti tidak jemu menghayati tradisi dan kebudayaan yang ditonjolkan kerana kebanyakan mempamerkan budaya yang jarang sekali diketengahkan.

Antara yang pasti menarik perhatian pengunjung adalah tarian dabus yang terkenal di Perak kerana ia jarang sekali dipertonton atau diperdengarkan.

Tarian dabus berasal dari Kampung Tanjung Bidara, Bagan Datoh dan Pasir Panjang laut adalah sejenis tarian kepahlawanan yang biasanya dimulakan dengan bait jampi.

Malah tarian yang dibawa dari tanah Arab itu dipercayai memasuki Perak sejak 300 tahun lalu oleh pedagang Arab dan Aceh.

Ia juga memperlihatkan penari seakan-akan menguji kekuatan masing-masing. Jadi semestinya tarian ini menuntut kecerdasan, ketangkasan dan keceriaan ketika dipersembahkan.

Tarian gabungan nyanyian, tari dan seni mempertahankan diri itu mempunyai tiga jenis persembahan seperti susun sirih, ayun tajak dan lang sewah.

Pakaian yang biasa dikenakan adalah hitam sementara peralatan yang digunakan selain alat muzik adalah ‘anak dabus’ atau pencucuk serta beberapa bahan untuk jampi.

Selain itu, penulis turut tertarik dengan Wayang Kulit Sri Asun yang berasal dari Kedah kerana ia mempunyai keunikan tersendiri.

Pada pandangan penulis, penceritaan wayang kulit itu lebih bersahaja selain watak yang ditampilkan lebih ‘moden’ kerana pakaian yang dikenakan lebih terkini seperti seluar, baju kemeja dan prop wayang termasuk motosikal turut digunakan.

Ghazal Party tradisi seni dan budaya dari Pulau Pinang turut menarik perhatian kerana tidak ramai orang tahu mengenainya.

Ia berasal dari perkataan Arab ‘Ghaz’ membawa maksud nyanyian yang ditujukan kepada wanita selain persembahan muzik dan nyanyian lagu Melayu yang bertemakan kasih sayang.

Menurut Penolong Kurator Jabatan Muzium Malaysia Mohd Fairuz Mohamed Kassim, pameran Silang Budaya antara usaha gabungan enam muzium iaitu Jabatan Muzium Malaysia, Yayasan Warisan Johor, Lembaga Muzium Pulau Pinang, Muzium Negeri Kedah, Muzium Negeri Perak dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) bagi mengetengahkan budaya serta tradisi di negara ini.

“Pameran ini unik kerana setiap negeri saling mengenali budaya dari negeri lain dan jabatan terbabit perlu mengetengahkan budaya dari negeri lain berbeza-beza mengikut lokasi pameran.

“Setiap negeri mempunyai subjek tersendiri di setiap lokasi pameran untuk diketengahkan selain menyediakan aktiviti berbeza mengikut kreativiti setiap penganjur,” katanya.

Menurut Mohd Fairuz, pengunjung yang tidak berkesempatan untuk berkunjung ke pameran di negeri sebelum ini, masih berpeluang berkunjung ke Kedah kerana ia diadakan bermula semalam hingga 7 Oktober 2016 dan terakhir di Pulau Pinang pada 18 Oktober hingga 16 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 11:54 AM