Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Pernahkah anda dengar pepatah popular Inggeris yang berbunyi, 'ambillah sarapan seperti seorang raja, makan tengah hari seperti seorang puteri dan nikmati hidangan malam seperti seorang pengemis'.

Ramai tahu sarapan adalah hidangan harian paling penting untuk menjana kehidupan sihat namun berapa ramai sempat berbuat demikian?

Sarapan mempunyai banyak kebaikan terutama membantu mengurangkan risiko penyakit kencing manis atau diabetes melitus jenis kedua (Type 2).

Diabetes adalah penyakit kronik yang kekal seumur hidup dan jika tidak dikawal, ia boleh membawa komplikasi serius termasuk serangan jantung, buah pinggang, penyakit mata, kerosakan saraf dan ulser hinggalah amputasi kaki. Di Malaysia, 2.6 juta penduduk menderita diabetes kerana mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Menurut Pakar Perunding Endokrinologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Profesor Madya Dr Norlaila Mustafa, meninggalkan sarapan sebagai rutin harian memberi kesan terhadap profil pesakit diabetes.

"Sarapan bukan saja boleh menghindar rasa lapar tapi membantu mengelak tabiat terlebih makan di sebelah tengah hari.

"Malah, sarapan menggalak pengambilan jumlah tenaga sepatutnya, sekali gus mengurangkan risiko obesiti yang menjadi punca diabetes," katanya ketika memberi taklimat, Kaitan antara Sarapan dan Diabetes di Kalangan Wanita dan Kanak-kanak di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Taklimat anjuran Malaysian Endocrine and Metabolic Society (MEMS) sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia 2014 pada 14 November depan. Aktiviti menarik antaranya Larian dan Jalan Kaki Amal di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur 9 November ini.

Sementara itu, Pakar Perunding Endokrinologi Hospital Kuala Lumpur merangkap Pengerusi Penganjur Hari Diabetes Sedunia 2014, Datuk Dr Mohamed Badrulnizam Long Bidin berkata, MEMS menggalakkan penyertaan ramai dalam Larian dan Jalan Kaki Amal sebagai simbolik amalan gaya hidup bebas pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 5:03 AM