Oleh Hidayatul Akmal Ahmad


Kadar penyakit diabetes yang kian meningkat cabaran besar terhadap kesihatan awam di Malaysia. Diabetes adalah penyakit kronik yang menjejaskan kira-kira 1.9 juta rakyat Malaysia serta 382 juta manusia seluruh dunia.

Sekurang-kurangnya 90 peratus kes diabetes adalah jenis 2 iaitu badan menghasilkan insulin tetapi sama ada mencukupi atau tidak bertindak balas terhadap kesannya (juga dikenali sebagai ketahanan terhadap insulin) mengakibatkan glukosa terkumpul dalam darah.

Antara faktor risiko diabetes jenis 2 adalah badan gemuk, peningkatan usia, sejarah diabetes dalam keluarga, bangsa, glukosa darah tinggi ketika hamil yang menjejaskan anak dalam kandungan, berat badan berlebihan serta kekurangan aktiviti fizikal.

Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (National Health and Morbidity Survey) pada 2011 (NHMS 2011) melaporkan kejadian diabetes di seluruh Malaysia pada kadar 15.2 peratus.

Kadar peningkatan diabetes disabitkan dengan pembandaran yang meluas dan kerap dikaitkan dengan gaya hidup kurang aktif selain peningkatan kegemukan.

Pakar Perunding Endokrinologi Kanan, Prof Chan Siew Pheng berkata, disebabkan Diabetes Melitus jenis 2 (T2DM) adalah penyakit kronik dan progresif, ramai pesakit akhirnya memerlukan pelbagai jenis ubat untuk mengawal gula darah mereka.

“Mencapai kawalan glisemia yang optimum menjadi cabaran pesakit diabetes dan pakar kesihatan. Di Malaysia, audit yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan daripada 1,549 pesakit T2DM, hanya 11.4 peratus mencapai sasaran aras hemoglobin terglikosil (HbA1c)

“Gabungan dos terapi tetap dapat mengurangkan beban pil dan meningkatkan kepatuhan,” katanya ketika majlis pelancaran rasmi Janumet XR di ibu negara, baru-baru ini.

Kelulusan Janumet XR di Malaysia menawarkan pilihan rawatan sekali sehari yang mudah bagi pesakit tertentu menambah baik aras gula darah mereka.

Janumet XR menyasarkan tiga kecacatan utama pada diabetes jenis 2 iaitu kekurangan insulin dari sel beta pankreas, ketahanan insulin serta penghasilan glukosa berlebihan dalam hati.

Ia juga menggabungkan dua ubat iaitu sitagliptin phosphate dan metformin HCI pelepasan lanjut yang setiap satunya terbukti berkesan menambah baik kawalan gula darah tanpa meningkatkan risiko hipoglisemia.

Metaformin bertindak mengurangkan penghasilan glukosa dalam hati, mengurangkan penyerapan glukosa dalam usus dan menambah kepekaan insulin dengan meningkatkan penyerapan glukosa oleh sel otot daripada darah.

Metformin pelepasan lanjut pula bertindak serupa dengan metformin pelepasan segera tetapi dalam tempoh lebih panjang, dengan itu membolehkan ubat itu diberikan sekali sehari.

Sitagliptin sejenis perencat dipeptidyl peptidase-4 (DPP-4) yang digunakan sekali sehari bertindak meningkatkan sintesis dan pelepasan insulin dari sel beta pankreas di samping mengurangkan penghasilan glukosa berlebihan oleh hati, di mana kesannya bergantung pada aras glukosa.

Kekerapan dos ubat yang lebih rendah iaitu sekali sehari berbanding dengan dua atau tiga kali sehari dilaporkan menghasilkan kepatuhan lebih tinggi dalam kalangan pesakit.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Endokrinologi Kanan Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein menjelaskan, pesakit diabetes akan menghadapi pelbagai komplikasi seperti penyakit jantung dan strok, hilang penglihatan dan buta, kegagalan ginjal dan amputasi anggota bawah jika tidak dirawat.

“Menguruskan diabetes jenis 2 seperti memilih makanan berkhasiat, bersenam secara tetap, mengambil ubat diabetes mengikut arahan doktor dan mengawasi gula darah adalah langkah penting untuk mengawal aras gula darah pada tahap normal supaya boleh melewatkan atau mencegah komplikasi.

“Kegagalan mengawal aras gula darah boleh mengakibatkan hipoglisemia dan kedua-duanya boleh mengancam nyawa pesakit diabetes,” katanya.

Menurut penemuan terbaru oleh Persekutuan Diabetes Antarabangsa (International Diabetes Federation atau IDF) pada 2013, bilangan pesakit diabetes di Rantau Pasifik Barat meningkat daripada 138.2 juta kepada kira-kira 201.8 juta orang dalam masa 20 tahun.

Di Malaysia, kira-kira 24,049 orang berusia antara 20 hingga 79 tahun mati akibat diabetes pada 2013. Jumlah perbelanjaan bagi diabetes di rantau ini dianggarkan sebanyak $88.4 bilion (RM281 bilion) pada 2013.

Menjelang 2035, angka ini dijangka meningkat kepada kira-kira $98.4 bilion setahun (RM296 bilion). Pada keseluruhannya, bilangan pesakit diabetes di dunia diramalkan meningkat pada kadar purata kira-kira dua peratus setahun iaitu hampir dua kali ganda kadar pertambahan bilangan orang dewasa sedunia.

Kelaziman diabetes

- Menurut Persekutuan Diabetes Antarabangsa, kira-kira 387 juta orang di seluruh dunia hidup sebagai penghidap diabetes pada 2014. Bilangan penghidap diabtes dianggarkan meningkat daripada 387 juta kepada 592 pada 2035.

- Kira-kira 77 peratus penghidap diabetes tinggal di negara berpendapatan rendah serta sederhana tinggi. Kebanyakan pesakit diabetes berusia 40 hingga 59 tahun.

- Seramai 175 juta pesakit diabetes tidak didiagnosis. Hampir separuh pesakit diabetes di Asia Tenggara tidak didiagnosis.

- Lebih daripada 21 juta kelahiran hidup terjejas disebabkan diabetes ketika dalam kandungan pada 2013.

- Peningkatan kelaziman berlakunya T2DM dikaitkan dengan perubahan gaya hidup dan sosial yang pesat, penuaan populasi, pembandaran yang meningkat, perubahan pemakanan, kekurangan gerak kerja jasmani serta gaya hidup tidak sihat.

Kadar kematian

- Menurut edisi keenam IDF Diabetes Atlas, 4.9 juta kematian berlaku pada 2014. Seorang manusia meninggal dunia akibat diabetes setiap tujuh saat. Di Malaysia, dianggarkan 34,422 orang maut disebabkan komplikasi yang berkait dengan diabetes.

- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan, diabetes akan menjadi punca kematian ketujuh tertinggi menjelang 2030.

- Lebihan kadar kematian global yang berpunca daripada diabetes pada 2000 dianggarkan sebanyak 2.9 juta kematian bersamaan dengan 5.2 peratus daripada semua kematian. Lebihan kadar kematian berpunca daripada diabetes ialah dua hingga tiga peratus kematian di negara miskin dan lebih daripada lapan peratus di Amerika Syarikat, Kanada dan Asia Barat. Dalam lingkungan usia 35 hingga 64 tahun kematian berpunca daripada diabetes adalah enam hingga 27 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:02 AM