JEDINAK (tengah) meraikan kemenangan bersama Cahill (dua dari kanan) selepas menjaringkan gol.
JEDINAK (tengah) meraikan kemenangan bersama Cahill (dua dari kanan) selepas menjaringkan gol.

Melbourne: Tuan rumah, Australia mempamer aksi membanggakan yang dijana Tim Cahill ketika mengatasi Kuwait 4-1 pada perlawanan pembukaan Piala Asia semalam.

Massimo Luongo, Mile Jedinak dan James Troisi turut menghasilkan gol buat Socceroos dan mereka sepatutnya boleh menang dengan jumlah jaringan lebih besar di depan 30,000 penyokong di Melbourne.

Bagaimanapun, Kuwait terlebih dulu mengejutkan Australia menerusi gol Hussain Fadhel ketika permainan baru berlangsung lapan minit dan pemain pertahanan itu menanduk masuk sepakan sudut sekali gus membuatkan penyokong tuan rumah terdiam.

Cahill melegakan pasukannya apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-33 selepas bertukar hantaran dengan Luongo. Pemain berusia 35 tahun itu kini menjaringkan gol pada setiap perlawanan Piala Asia sejak tiga edisi lalu.

Luongo meletakkan Australia di depan sejurus sebelum rehat menerusi tandukan sekali gus memberikan keyakinan buat Australia.

Kapten Australia, Jedinak menyempurnakan penalti pada minit ke-62 dan memberikan kelebihan dua gol buat Socceroos manakala Troisi meledak jaringan keempat untuk memastikan kemenangan bermakna pasukannya.

“Kami bermula dengan baik,” kata jurulatih Australia Ange Postecoglou. “Ada kalanya perancangan kami tidak menjadi tetapi pemain tidak panik.

“Ia tindak balas yang baik dan kami berjaya membunuh semangat juang lawan. Persembahan positif kami mengatasi beberapa aksi negatif sebelum ini dan ia memberi keyakinan untuk kami mengharungi perlawanan seterusnya.”

Australia yang muncul naib juara di Jepun empat tahun lalu, turut diundi bersama-sama Oman dan Korea Selatan di dalam Kumpulan A. Australia masih belum pernah bergelar juara Piala Asia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 5:09 AM