FOTO NSTP
FOTO NSTP
Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Perintah berkurung fasa ke - 64 di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir hari ini, dilanjutkan hingga 22 Mei depan bagi fasa ke - 65 bermula esok.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, fasa baru perintah berkurung ini dikuatkuasakan bermula jam 6 petang dalam usaha menangani sebarang insiden pencerobohan anasir luar di perairan Sabah.

"Polis mengistiharkan perintah berkurung yang akan memasuki fasa ke - 65 di ESSZONE bermula esok hingga 22 Mei depan.

"Perintah berkurung dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif polis bagi mengekang sebarang aktiviti jenayah yang cuba dilakukan militin Abu Sayyaf seperti pencerobohan, culik dan jenayah rentas sempadan di perairan negeri ini," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Ramli berkata, perintah berkurung dikuatkuasakan di perairan tujuh daerah di Sabah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

"Dengan berkuatkuasanya perintah berkurung ini, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah di kawasan yang diistiharkan antara jam 6 petang hingga 6 pagi.

"Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah berkenaan untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon yang memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 2:26 PM