NIK Mahmud  menunjukkan mesin layan diri  RIEKI yang menawarkan perkhidmatan WiFi tanpa had data mengikut tempoh masa, servis mencetak gambar serta slot pengiklanan yang akan dipaparkan pada mesin berkenaan.
NIK Mahmud menunjukkan mesin layan diri RIEKI yang menawarkan perkhidmatan WiFi tanpa had data mengikut tempoh masa, servis mencetak gambar serta slot pengiklanan yang akan dipaparkan pada mesin berkenaan.
Nabil Basaruddin

[email protected]

Kuala Lumpur: MK Connection Legacy Berhad (MK Connection Legacy), pengeluar mesin layan diri pintar RIEKI komited untuk memperkukuhkan kedudukan dan kehadirannya dalam pasaran tempatan, sekali gus menjadi peneraju dalam segmen mesin layan diri.

RIEKI adalah mesin layan diri yang menawarkan perkhidmatan WiFi tanpa had data mengikut tempoh masa, servis mencetak gambar serta slot pengiklanan yang akan dipaparkan pada mesin berkenaan.

RIEKI juga adalah mesin layan diri yang memberikan peluang kepada pelabur untuk menambah pendapatan setiap bulan tanpa mengganggu masa mereka. MK Connection Legacy memberikan khidmat penyelenggaraan dan pemantauan dari pusat kawalan di ibu pejabat di Solaris Mont Kiara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Nik Mahmud Nik Wan berkata, sepanjang tahun ini, pihaknya merancang menempatkan 1,000 mesin layan diri pintar RIEKI di beberapa lokasi termasuk pusat beli-belah, institusi pengajian tinggi, hospital dan pejabat kerajaan.

Beliau berkata, untuk meraih pulangan lebih baik pada tahun ini, pihaknya memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM58.8 juta bagi memastikan pelan perniagaan yang dirancang menjadi kenyataan.

“Kita adalah syarikat pertama di negara ini yang menjalankan perniagaan mesin layan diri pintar dan berharap dapat menjadikannya sebagai trend dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

“Setakat ini, kita sudah menempatkan 200 mesin RIEKI di sekitar Lembah Klang, Terengganu, Kelantan, Johor dan Pulau Pinang yang dikendalikan pembeli yang terdiri daripada kalangan peniaga,” katanya kepada Bisnes Metro, baru-baru ini.

Menurutnya, MK Connection Legacy juga mempunyai sebuah kilang operasi dengan kapasiti mengendalikan sehingga 200 mesin RIEKI di Sungai Buloh, Selangor yang akan memproses secara teknikal dan teknologi semua mesin yang diterima dari kilang pembuatan di luar negara.

“Sejak mula beroperasi pada 2015, kami giat mempelbagaikan kempen mesin layan diri berkonsepkan multimedia mengenai kelebihan menggunakan mesin RIEKI berikutan ia memberi banyak kemudahan kepada orang ramai.

“Lokasi dengan kepadatan dan trafik penduduk serta pengguna yang tinggi menjadi antara faktor yang diberi keutamaan sekiranya ada pihak berminat dengan produk RIEKI yang akan memberi jaminan penggunaan optimum,” katanya.

Katanya, matlamat seterusnya, RIEKI akan memberikan kemudahan untuk membayar saman, tambah nilai kad Touch n Go serta kemudahan lain.

Beliau berkata, pada masa akan datang, MK Connection Legacy bercadang mewujudkan kilang sendiri di Malaysia supaya syarikat dapat menjamin kualiti mesin yang dibekalkan kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 12:02 AM