KHALID
KHALID
Oleh Nabil Basaruddin


ETIKA Sdn Bhd (Etika), syarikat pengeluar minuman halal terkemuka di Malaysia mengukuhkan portfolio perniagaannya selepas mengambil alih Advend Systems Pte Ltd yang beribu pejabat di Singapura.

Advend Systems adalah pengeluar dan pembangun mesin layan diri serta penyedia sistem penyelesaian industri layan diri.

Pengambilalihan itu termasuk perniagaan mesin layan diri di Malaysia dan Singapura yang beroperasi di bawah nama Atlas Vending.

Ketua Pegawai Eksekutif Etika Malaysia, Singapura dan Brunei, Khalid Alvi berkata, syarikatnya sentiasa memberi penekanan khusus bagi memenuhi keperluan dan permintaan pengguna sebaik mungkin.

“Susulan pengambilalihan Atlas Vending, kami kini berupaya menyediakan lebih banyak mesin layan diri, menjadikan Etika syarikat minuman dengan kehadiran mesin layan diri nombor satu di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dengan pengambilalihan itu, Etika kini adalah pemain nombor satu dalam industri berkenaan dengan lebih daripada 10,000 mesin layan diri di seluruh Malaysia.

Selepas selesai pengambilalihan ini, Etika akan menjual minuman panas di samping produk konfeksioneri.

Dengan operasi lebih 39 tahun, Atlas Vending adalah antara penyedia penyelesaian layan diri terbesar di Singapura serta Malaysia, dengan perkhidmatan merangkumi minuman panas dan sejuk seperti kopi, minuman dalam tin, minuman botol selain snek seperti mi dalam cawan.

Selain itu, Etika juga adalah pembotol rasmi PepsiCo di Malaysia.

Malah, syarikat itu turut memasar dan mengedarkan jenama global PepsiCo seperti Pepsi, Tropicana, Mountain Dew, Revive Isotonic, Mirinda, 7UP, Lipton Ice Tea, MUG, Gatorade, Sting, Evervess dan Kickapoo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 8:52 AM