Nabil Basaruddin

KUALA Lumpur: Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan memperkenalkan lebih banyak perkhidmatan digital baharu kepada pemegang unit amanah di bawah syarikat pengurusan unit amanah miliknya.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, PNB akan terus memperhebat usaha mengembangkan jangkauan digital dan kemudahan transaksi kepada semua pemegang unit amanah.

Beliau berkata, antara inisiatif digital yang akan disediakan pihaknya pada tahun ini adalah melancarkan aplikasi mudah alih myASNB yang berfungsi sama seperti Portal myASNB.

“Aplikasi mudah alih ini akan memberikan lebih kemudahan kepada pemegang unit untuk melakukan pelaburan permulaan atau tambahan kepada pelaburan sedia ada, semakan baki dan kemudahan penyata akaun serta maklumat terkini dari PNB.

“Kami juga akan memperkenalkan Portal myASNB versi 3.0 yang diperkemaskan dengan beberapa ciri baharu.

“Usaha pendigitalan adalah penting bagi menggalakkan lebih banyak rakyat untuk melabur serta berperanan merangsang literasi kewangan khususnya generasi muda,” katanya pada Pembentangan Prestasi 2018 & Pelancaran Laporan Tahunan Bagi Tahun Kewangan 2018 PNB di sini.

Portal myASNB ketika ini mempunyai satu juta pengguna berdaftar yang mencatatkan kira-kira 3.1 bilion unit transaksi unit amanah sejak ia dilancarkan pada pertengahan 2017.

PNB juga akan meluaskan projek perkhidmatan pelaburan masa nyata yang ketika ini dilaksanakan bersama Malayan Banking Bhd (Maybank) kepada dua bank lain iaitu CIMB Bank dan RHB Bank.

Pada Disember tahun lalu, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) dengan kerjasama Maybank menawarkan dua perkhidmatan pelaburan baharu menerusi saluran digital di bank berkenaan.

Perkhidmatan digital itu ialah pelaburan dalam unit ASNB melalui Maybank2u dan mesin ATM yang mana kedua-duanya adalah menerusi masa nyata.

Abdul Rahman berkata, lebih banyak pemegang unit amanah dapat melakukan pelaburan melalui platform digital dan memberi peluang kepada mereka untuk menyimpan serta melabur dengan berhemat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 11:31 AM