Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Dua laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini supaya pihak berkuasa menyiasat kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, yang didakwa menjatuhkan maruah hakim syarie dalam satu program pada 10 April lalu.

Laporan polis itu dibuat masing-masing oleh Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan Datuk Mahammad Ibrahim dan Hakim Syarie Muhammad Abdul Karim Wahab kira-kira jam 10 pagi ini.

Mahammad yang ditemui berkata, kenyataan dibuat Rafizi itu adalah satu fitnah dan penghinaan kepada institusi kehakiman syariah dan hakim-hakim mahkamah syariah.

Katanya, kenyataan itu juga dilihat mampu mewujudkan kekeliruan dan mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kehakiman syariah di negara ini.

Rafizi didakwa melemparkan tohmahan itu ketika sesi bersama sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang yang tersebar pada 12 April lalu, mendakwa rekod hakim Mahkamah Syariah yang ditahan kerana rasuah lebih tinggi berbanding hakim Mahkamah Sivil.

Sebelum ini, Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) turut membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berhubung kenyataan dikeluarkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang didakwa menjatuhkan maruah hakim syarie negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 12:43 PM
Mahammad (tiga dari kiri) menunjukkan laporan polis berhubung kenyataan Rafizi yang memperlekehkan institusi kehakiman syariah. FOTO Noor Atiqah Sulaiman
Mahammad (tiga dari kiri) menunjukkan laporan polis berhubung kenyataan Rafizi yang memperlekehkan institusi kehakiman syariah. FOTO Noor Atiqah Sulaiman