Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menganggap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli sebagai pembohong dan tidak telus sekiranya tidak membuktikan dakwaannya bahawa rekod hakim syariah terbabit rasuah lebih tinggi daripada hakim mahkamah sivil.

Presiden PGSM Musa Awang menegaskan, dakwaan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah tuduhan yang serius, tiada asas dan salah pernyataan.

“PGSM menegaskan bahawa sejak Mahkamah Syariah ditubuhkan, hanya satu kes sahaja seorang hakim syarie yang disabitkan dengan kesalahan rasuah dan itu pun bukan membabitkan jumlah wang yang banyak.

“Kami meminta Rafizi mengemukakan rekod dan statistik yang didakwa untuk membuktikan beliau seorang wakil rakyat yang telus, bercakap benar dan tidak berbohong,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Musa berkata, PGSM percaya bahawa hakim Mahkamah Syariah berpegang kepada nas-nas syariah dalam menjalankan tugas mereka.

“Kenyataan Rafizi telah menjatuhkan martabat Mahkamah Syariah dan menjatuhkan maruah sahabat-sahabat kami para hakim syariah,” katanya.

Sehubungan itu beliau mendesak Rafizi menarik balik dakwaan dan kenyataan tidak berasas tersebut serta memohon maaf secara terbuka kepada semua hakim syariah dan seluruh umat Islam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 5:43 PM