ELVIN bersama (dari kiri) Indra, Ruth dan Azawate menunjukkan hidangan masing-masing.
ELVIN bersama (dari kiri) Indra, Ruth dan Azawate menunjukkan hidangan masing-masing.

Memasak dan menikmati makan malam seisi keluarga bersama-sama membantu melahirkan keluarga yang sihat dan gembira.

Anak yang didedahkan kepada bahan sihat dan berkualiti serta kaedah memasak makanan sihat sejak usia muda, lebih cenderung membuat pilihan pemakanan sihat apabila dewasa kelak.

Oleh itu, jenama kentang premium dari Amerika Syarikat (AS), Potatoes USA baru-baru ini menganjurkan sesi masakan sihat dengan kentang untuk dilakukan bersama-sama anak di rumah disertai pakar keibubapaan dan perkembangan kanak-kanak Ruth Liew, pakar pemakanan Indra Balaratnam dan hos televisyen, Azawate Zenol Abidin.

Tiga wanita ini berkongsi kisah mereka mengenai masakan, mengekalkan gaya hidup sihat dan mengeratkan kasih sayang bersama anak masing-masing dan bagaimana semuanya dapat digandingkan secara berkesan untuk membina keluarga gembira yang sihat.

Ruth berkata, kini membesarkan anak semakin mencabar terutama menerusi aspek pemakanan kerana kanak-kanak sering mengadu makanan mereka yang hambar dan tiada rasa terutama sayur-sayuran dan bahan menyihatkan.

“Oleh itu, menggalakkan mereka makan sebenarnya bermula dengan pemikiran mereka. Satu panduan yang baik untuk membuatkan kanak-kanak teruja makan ialah dengan membabitkan mereka dalam proses memasak.

“Contohnya, hidangan yang saya sediakan dipanggil ‘Wajah Gembira Kentang US’. Menggunakan kentang Russet US yang kaya khasiat, saya boleh menambah isi yang berkhasiat seperti tuna atau kiub ayam dengan sos masam manis yang lazat di dalamnya untuk menjadikannya sajian lengkap berkhasiat.

“Anak pula pasti gembira dapat menghias bahagian luar kentang itu. Mereka boleh menggunakan cendawan shitake Cina untuk membuat bahagian mata, hirisan lada benggala merah untuk mulut, telur puyuh rebus untuk hidung, rumpai laut panggang untuk rambut dan jagung manis untuk gigi. Aktiviti keluarga ini memang menyeronokkan, semuanya dilakukan serentak,” katanya.

Menurutnya, meluangkan masa bersama anak pada usia muda sememangnya penting kerana ia membentuk karakter dan tabiat mereka kelak.

“Anda seharusnya menyemai pemikiran mereka mengenai pemakanan dan tingkah laku yang baik pada usia ini.

“Ini membentuk acuan pemikiran ke arah pemakanan yang sihat pada masa depan dan bagaimana pandangan mereka terhadap penyediaan makanan dalam unit keluarga, sama ada seseorang itu melihatnya sebagai tugas seharian atau peluang untuk mengeratkan kasih sayang dengan keluarga,” katanya.

Indra turut mengakui pandangan Ruth malah anak perempuannya berusia 11 tahun, Skyler suka menolongnya memasak seolah-olah pembantu chef.

Katanya, mereka selalu membuat resipi ringkas bersama dan adakalanya dia membungkus makanan lebih sebagai snek waktu rehat Skyler di sekolah untuk keesokan hari.

“Saya suka membuat begedil kentang US dan keju mozzarella, resipi yang saya cipta sendiri. Skyler sukakannya, sama ada sebagai snek atau sajian utama.

“Untuk memastikan dia mendapat pelbagai khasiat pemakanan, saya menambah hirisan sayur yang halus ke dalam makanan yang digemarinya iaitu kentang Russet US dan keju.

“Ia resipi bagus untuk menyelitkan sayuran ke dalamnya terutama kanak-kanak cerewet yang tidak sukakan sayur-sayuran,” katanya.

Selain rasanya yang enak, kentang itu sendiri kaya kebaikan pelbagai khasiat. Saiz kentang bersaiz sederhana (kira-kira 148 gram) yang sudah dibersihkan dan dimakan dengan kulitnya membekalkan 30 peratus pengambilan vitamin C seseorang, lebih banyak potasium berbanding pisang.

Kentang berada pada kedudukan paling tinggi dari segi kandungan potasium (antara 20 buah-buahan dan sayur-sayuran paling laris dijual di AS).

Potasium baik untuk kesimbangan cecair sel dan untuk meneutralkan kesan sodium yang tinggi bagi membantu kawalan tekanan darah.

Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS, makanan seperti kentang adalah sumber potasium yang baik dan rendah sodium, membantu untuk merendahkan risiko tekanan darah tinggi dan strok.

Kentang juga membekalkan dos sihat vitamin B6 untuk fungsi metabolisme.

Sementara itu, Azawate yang juga ibu kepada tiga cahaya mata ini turut menyediakan telur dadar cendawan kentang AS.

Dia berkongsi kegemarannya pada kentang AS membabitkan kebaikannya kepada keluarga dan majlis keraian istimewa seperti Hari Raya. Dia turut mengimbau saat dan kenangan menggembirakan memasak sajian itu dengan anaknya.

Pemilik dan Eksekutif Cef restoran Secret of Louisiana, Petaling Jaya Elvin Goh turut mengambil kesempatan menyediakan tiga resipi enak iaitu bot kentang AS, gumbo, roti hashbrown kentang AS, dan au gratin makanan laut kentang AS. Elvin menggunakan campuran kentang segar dan kentang beku AS untuk menghasilkan sajian lazatnya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 12:07 PM