HIDANGAN ayam sumbat bayam siap dan enak dimakan bersama nasi panas atau pasta.
HIDANGAN ayam sumbat bayam siap dan enak dimakan bersama nasi panas atau pasta.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Alasan sibuk dan tiada masa sering meniti di bibir ibu bapa zaman ini kala ditanya sama ada berpeluang menyediakan hidangan harian untuk anak mereka.

Justeru, ibu bapa mengambil langkah mudah dengan menyediakan hidangan ringkas tanpa sedar makanan itu kurang, malah tiada khasiat untuk tumbesaran anak mereka.

Lebih buruk apabila mereka menjadikan restoran makanan segera sebagai jalan penyelesaian kerana ia mudah, murah dan kanak-kanak lebih suka memilih makanan daripada restoran itu berbanding masakan di rumah.

Sebenarnya, memasak hidangan sihat tidak sesukar yang disangkakan, malah sesetengahnya boleh dilakukan bersama ketika lapang dan tentunya menjadikan pengalaman menyeronokkan buat seisi keluarga.

Pemilihan makanan sihat bukan saja membantu anda mengawal kalori yang diambil setiap hari, malah boleh menghindarkan pelbagai penyakit bahaya disebabkan tabiat ‘makan ikut selera’.

Jika dulu hidangan seperti nasi lemak, roti canai, makanan segera, kuih-muih manis dan bergoreng menjadi santapan setiap hari, tiba masa anda mula mengubah rutin dengan menyediakan sendiri sajian untuk seisi keluarga yang ringkas, tapi menyihatkan.

Memasukkan sayuran dalam menu harian bagi menjadikan makanan bukan saja menyihatkan, malah dapat memberi seisi keluarga nutrisi mencukupi dalam satu hidangan.

Apatah lagi tidak semua kanak-kanak menggemari sayuran yang dimakan begitu saja, lebih elok sekiranya satu hidangan dapat menyatukan semua kandungan penting terdiri daripada protein dan sayuran.

Menerusi resipi ayam sumbat bayam misalnya, sayuran seperti bayam dan cendawan yang dilumatkan bersama isi ayam, pasti menarik selera anak anda tanpa perlu memaksa mereka makan sayur.

Berikut bahan dan cara penyediaan hidangan ayam sumbat bayam yang boleh dicuba sendiri di rumah yang disediakan jurulatih kecergasan, Siti Fadhlina Halipah.

Bahan:

- Isi ayam (bahagian dada)

- Bayam

- Bawang putih

- Cili padi (jika mahu sedikit rasa pedas)

- Cendawan shiitake

- Bawang holland

- Serbuk kunyit

- Garam dan gula secukup rasa

- Lada hitam yang telah ditumbuk

- Lemon

Cara penyediaan:

1. Tumbuk isi ayam dan ketepikan. Untuk inti, tumbuk bayam, cili padi, cendawan shiitakae, bawang putih dan bawang holland sehingga lumat. Masukkan garam, gula dan lada hitam secukup rasa. Gaul sebati. Perah beberapa hirisan lemon dalam inti.

2A dan 2B. Letakkan inti di atas ayam yang dilenyekkan dan gulung ayam bersama inti.

3. Panggang gulungan ayam di atas kuali tidak melekat di atas api perlahan dan balik-balikkan hingga masak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 3:19 PM