MADONNA
MADONNA
Susunan Michelle Gun


Berita Universal Studios bakal menghasilkan filem biopik mengenai perjalanan karier seni dan kehidupan Madonna sewaktu muda menerima bantahan kuat daripada ratu pop itu.

Bintang berusia 58 tahun itu nekad dengan pendiriannya terutama selepas membaca skrip filem yang diberi judul Blond Ambition itu.

Penyanyi lagu Like A Virgin terbabit menerusi akaun Instagram memaklumkan skrip tulisan Elyse Hollander itu memaparkan banyak fakta tidak betul mengenai kehidupannya.

“Kenapa Universal Studios mahu menghasilkan filem mengenai saya daripada skrip yang mengandungi banyak penipuan?” tulisnya.

Madonna turut memetik beberapa butiran skrip tertentu antaranya babak Madonna memberitahu pengacara American Bandstand, Dick Clark tempat kelahirannya di Detroit dan tidak tamat sekolah menengah.

“Saya lahir di Bay City, bukan Detroit. Saya juga tamat sekolah menengah dan menyambung pengajian di Universiti Michigan,” katanya.

Ibu kepada enam anak ini turut memuat naik beberapa gambarnya pada 1980-an di Instagram.

“Tiada sesiapa mengetahui apa yang saya tahu dan pernah nampak. Hanya saya saja boleh menceritakan kisah sendiri.

“Sesiapa yang cuba adalah pendusta dan bodoh. Mencari kepuasan segera tanpa membuat semakan adalah penyakit dalam masyarakat kita,” katanya.

Berdasarkan lakon layar Hollander, Madonna sewaktu muda berdepan cabaran mengeluarkan album sulungnya ketika dihimpit populariti, percintaan dan industri muzik yang ketika itu menganggap wanita mudah disingkirkan.

Satu lagi babak menceritakan Madonna mencuri berus dan ubat gigi yang diletakkan dalam beg sandar di sebuah farmasi.

Skrip itu menerima undian tertinggi dalam Black List tahun lalu yang menyenaraikan 73 karya lakon layar terbaik Hollywood.

Malah, skrip terbabit turut mendakwa penyanyi terbabit mencuri penampilan ikoniknya daripada wanita bernama Bianca Stonewell.

Bagaimanapun, Madonna terpaksa menerima hakikat sekiranya pembikinan filem itu mendapat lampu hijau untuk diteruskan.

Turut diceritakan adalah tindakan penyanyi terbabit mula mengabaikan penerbit Jellybean Benitez yang juga kekasihnya untuk bersama Prince.

Lagipun, beberapa lagu popular awal penyanyi itu seperti Holiday, Crazy For You, Borderline, Like A Virgin, Material Girl dan Dress You Up bukan ciptaannya, sekali gus tiada ‘kuasa’ untuk mengawal hak cipta lagu berkenaan daripada digunakan dalam Blond Ambition.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 5:33 AM