Muhammad Khalis Irfan (kiri), Amir Hazim (dua kiri) Faris Izzuddin (dua kanan), Muhamad Sohail Lal (kanan) berjaya meraih pingat Emas dan Gangsa pada pertandingan Projek Informatik Antarabangsa 2017 (Infomatrix) di Bucharest Romania.  FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Muhammad Khalis Irfan (kiri), Amir Hazim (dua kiri) Faris Izzuddin (dua kanan), Muhamad Sohail Lal (kanan) berjaya meraih pingat Emas dan Gangsa pada pertandingan Projek Informatik Antarabangsa 2017 (Infomatrix) di Bucharest Romania. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Nursyahirah Marzuki


Sepang: Empat pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kubang Pasu dan Langkawi, Kedah melakar sejarah apabila berjaya membawa pulang pingat emas dan gangsa pada Pertandingan Projek Informatik Antarabangsa 2017 (INFOMATRIX) di Bucharest, Romania.

Kemenangan itu diraih dua pelajar tingkatan empat MRSM Kubang Pasu iaitu Amir Hazim Zulhazim, 16 dan Muhammad Khalis Irfan Khairudin, 16 yang berjaya merangkul pingat emas menerusi hasil karya mereka bertajuk 'The Lost'.

Sementara itu, robot bernama Mini Sumo yang dihasilkan dua pelajar MRSM Langkawi iaitu Muhamad Sohail Lal Lal Muhamad, 16 dan Muhamad Faris Izzuddin Mat Rodzi, 16 berjaya membawa pulang pingat gangsa.

Kepulangan empat pelajar berkenaan bersama guru pengiring disambut Timbalan Pengarah Kokurikulum Bahagian Pendidikan Menengah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Shahrizal Mohd Saderi dan ahli keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA Abdul Halim Abas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, pertandingan yang bermula Sabtu lalu itu dianjurkan Institusi Pendidikan Lumina, Kementerian Pendidikan Nasional Romania dan Lembaga Pendidikan Bucharest (ISMB).

"Pertandingan ini diadakan setiap tahun bagi menggalakkan golongan muda menggunakan imaginasi, semangat dan kreativiti mereka dalam bidang komputer serta robotik.

"Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu pengaturcaraan, seni komputer, kawalan perkakas, filem pendek dan robotik," katanya.

Katanya, MARA sentiasa memberi galakkan dalam membina budaya inkuiri dan penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar MRSM ke arah menghasilkan Nobel Laureate pertama Malaysia dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

"Ini adalah asas kepada aspirasi pendidikan MARA yang sentiasa menyokong usaha pelajar dalam memberi pengalaman dan kesedaran kepada generasi muda mengenai reka cipta berupaya merubah cara hidup manusia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 7:55 PM