Akim bersama Elica.
Akim bersama Elica.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Akim Ahmad, 26, tidak terkilan apabila protegenya Elica, 18, diberikan markah rendah dalam saingan Mentor Milenia 2017, baru-baru ini oleh juri awam hingga mencetuskan kemarahan netizen.

Menurutnya, markah itu bukan penentu utama dan dia percaya juri awam juga ada cita rasa sendiri terhadap persembahan peserta.

"Dalam kalangan 10 juri awam itu, pastinya tidak semua bersetuju dengan persembahan Elica. Mungkin ada kriteria persembahannya yang tidak menepati cita rasa mereka.

"Saya lebih bergantung kepada keputusan juri tetap yang jauh lebih arif dalam pemberian markah. Begitu juga pengundi di rumah harus terus berikan sokongan penuh kepada Elica," katanya kepada Harian Metro.

Pada konsert minggu kelapan program itu, Elica yang mempersembahkan lagu Bosan nyanyian asal Stacy nampaknya tidak menyakinkan juri awam dan hanya diberikan 16 markah daripada 20.

Berikutan itu, ramai netizen terutama peminat tegar Elica mengkritik juri awam yang didakwa bersifat pilih kasih.

Kewujudan juri awam juga dipertikaikan fungsinya memandangkan juri tetap iaitu Datuk Hattan memberikan pujian terhadap persembahan peserta berasal dari Tambunan, Sabah itu.

Dalam saingan separuh ahkir kelmarin, Elica turut layak ke peringkat akhir Mentor Milenia 2017 yang akan berlangsung Ahad depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 5:23 PM