Mayat Mohd  Zaki terbaring di dalam longkang selepas terjun dari lori yang dipandunya.
Mayat Mohd Zaki terbaring di dalam longkang selepas terjun dari lori yang dipandunya.

Sungai Petani: “Saya tak sangka ayah terjun dari lori kontena dipandunya, padahal ia bukan terbalik,” kata Muhammad Hazwan, 25, anak kepada Mohd Zaki Talib, 51, yang maut apabila kepalanya terhantuk pada besi penghadang jalan selepas terjun dari kenderaan itu dalam kemalangan di susur masuk Plaza Tol Sungai Petani Selatan, di sini, semalam.

Kejadian jam 2.45 petang itu berlaku ketika lori berkenaan dalam perjalanan dari Butterworth, Pulau Pinang menuju Sungai Petani dengan membawa muatan barangan plastik.

Bagaimanapun, sebaik memasuki plaza tol berkenaan, tiba-tiba lori kontena itu hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh besi penghadang jalan di kanan lebuh raya menyebabkan mangsa panik kerana bimbang kenderaan terbalik.

Muhammad Hazwan berkata, dia yang berada di tempat kerja di Bayan Lepas, Pulau Pinang, terkejut apabila menerima panggilan daripada rakan bapanya jam 2.50 petang yang memaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan.

Dia bergegas ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, dengan menunggang motosikal, namun tergamam apabila dimaklumkan bapanya meninggal dunia.

“Ayah seorang pemandu berhati-hati menyebabkan saya terkejut dengan tindakannya. Selama ini, ayah menunggang motosikal dari rumah di Kampung Baru, Penaga, Pulau Pinang ke tempat kerja di Seberang Jaya (Pulau Pinang) tidak pernah terbabit kemalangan.

“Tetapi hari ini (semalam), ayah tinggalkan kami sekeluarga. Kali terakhir saya jumpa ayah awal pagi tadi (semalam) sebelum ke tempat kerja dan ayah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap,” katanya di Jabatan Forensik HSAH, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 5:55 AM