Mohd Ruzaini Zulkepli


Putatan: Allahyarham Danial Norman Norisham, 16, yang lemas bersama dua rakannya, semalam, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Petagas, di sini, kira-kira 10 pagi ini.

Arwah Danial yang juga pelajar SMK Putatan itu terdahulu disembahyangkan di Masjid Kampung Petagas diimamkan ayahnya, Norisham Purah, 51, dan turut dihadiri kira-kira 100 penduduk.

Allahyarham ditemui lemas ketika menyertai program Kem Kepimpinan anjuran SMK Putatan di sebuah resort berhampiran Membakut, dekat sini, pada 9.30 pagi semalam.

Selain arwah, dua lagi rakannya yang turut lemas adalah Allahyarham Hafiz Hamizan Abdul Rahman, 16, dan Qhuzaimi Jakaran, 17, dilaporkan. Mereka dilaporkan dikebumikan di Papar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, dalam kenyataannya semalam, dipetik berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiganya ketika itu bersama ahli kumpulan terdiri sembilan orang termasuk guru pengiring.

Katanya, mereka dikatakan melalui jalan berair di kawasan tepi anak sungai di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, ketika kejadian, tujuh pelajar itu difahamkan melalui sungai di lokasi terbabit.

Katanya, tiga daripada mangsa disahkan lemas manakala empat lagi terselamat.

Menurutnya, kes itu diklasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut.

Berita berkaitan:

Ajal tiga sekawan

Tersasar laluan jadi punca

Bapa reda anak sudah tiada

Siasat jika ada berlaku kecuaian

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 10:40 AM
Norisham Purah ditemani isteri menyiram air mawar ke pusara arwah anak mereka, Allahyarham Danial, di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Ganang, Petagas. FOTO Mohd Adam Arinin
Norisham Purah ditemani isteri menyiram air mawar ke pusara arwah anak mereka, Allahyarham Danial, di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Ganang, Petagas. FOTO Mohd Adam Arinin