AHLI keluarga mangsa pelajar yang lemas berada di perkarangan Hospital Beaufort.
AHLI keluarga mangsa pelajar yang lemas berada di perkarangan Hospital Beaufort.
Mohd Ruzaini Zulkepli


Beaufort: Polis akan melakukan siasatan menyeluruh jika terdapat unsur kecuaian berhubung kes tiga pelajar sekolah yang ditemui lemas ketika menyertai Kem Kepimpinan di sebuah resort, Membakut, pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan awal kes berkenaan adalah diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun pihaknya akan menyiasat secara menyeluruh jika terdapat unsur-unsur kecuaian.

"Setakat ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut.

"Namun polis tidak menolak jika ada unsur kecuaian, maka kita akan menyiasat dan membuka kertas siasatan semula," katanya, ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, mangsa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan iaitu Hafiz Hamizan Abdul Rahman, 16, Daniel Norman Norisham, 16, dan Qhuzaimi Jakaran, 17, ditemui lemas di dalam kawasan resort berkenaan ketika menyertai program Kem Kepimpinan anjuran SMK Putatan.

Empat lagi mangsa yang terselamat iaitu Muhammad Hafis Jabir, 16, Siti Norhayati Sunardi Alias, 16, Muhammad Syahril Danial Muloi, 16, dan Afifah Nasser, 17.

Azmir berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiga mangsa bersama ahli kumpulannya yang terdiri daripada sembilan orang termasuk guru pengiring dikatakan melalui jalan berair di kawasan tepi anak sungai di lokasi berkenaan.

"Berdasarkan maklumat, ketika kejadian, seramai tujuh pelajar itu melalui sebatang sungai di lokasi berkenaan dan tiga daripada mangsa disahkan mati lemas manakala empat lagi terselamat.

"Siasatan awal mendapati pelajar-pelajar itu dipercayai terperangkap di dasar tanah yang melekat lalu memerangkap mangsa sehingga lemas.

"Mereka yang terselamat kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan kecemasan di Hospital Beaufort," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 5:50 PM