Kotschach, Austria: “Saya mahu jadikan aksi di sini (Torneo Delle Nazioni) medan untuk menarik perhatian pencari bakat sekali gus ingin bermain di kelab Eropah.”

Itu tekad pemain utama pasukan Bawah 15 Tahun (B-15) negara, Amirul Ashrafiq Hanifah yang mengakui saingan Torneo Delle Nazioni adalah peluang keemasan buatnya mencipta nama sebagai pemain profesional suatu hari nanti.

Amirul, 15, yang beraksi di posisi penyerang bersama Luqman Hakim Shamsudin bakal dijadikan sandaran utama buat memburu jaringan gol sepanjang kejohanan itu.

“Saya akan main sehabis baik dan bertekad untuk beraksi bersama kelab luar,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

“Kalau diturunkan oleh jurulatih (Lim Teong Kim), saya nak biar pencari bakat tengok saya dan akan berusaha lebih bagi memastikan mereka mengambil saya,” katanya yang berasal dari Shah Alam.

Menurutnya lagi, Teong Kim banyak menerapkan sikap dan disiplin tinggi dalam kalangan pemain untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional.

“Semua tahu jurulatih kami banyak pengalaman di Bayern Munich dan kami cukup beruntung dapat menimba ilmu daripadanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 8:24 AM