Skuad B-15 negara akan menentang skuad B-15 Mexico esok. FOTO Firdaus Hashim
Skuad B-15 negara akan menentang skuad B-15 Mexico esok. FOTO Firdaus Hashim
Firdaus Hashim

 

[email protected]

 

Kotschach, Austria: Serangan pantas dengan dua penyerang kekal di bahagian depan antara kekuatan pasukan bawah 15 (B-15) tahun Mexico yang berjaya dihidu Lim Teong Kim sebelum anak buahnya turun membuat perhitungan dalam aksi pertama Kumpulan B saingan Torneo Delle Nazioni 2017, di Klagenfurt, Austria esok.

Menurut pengendali skuad B-15 negara itu, pemainnya perlu berhati-hati dengan serangan pantas Mexico yang boleh menjadi jerat paling sempurna kepada anak didiknya selain perlu bertahan lebih cepat semasa lawan menyerang.

"Dalam latihan hari ini, kita berlawan sesama sendiri dan saya menguji barisan pertahanan dengan meletakkan dua penyerang di depan setiap masa tanpa perlu turun membantu bahagian tengah.

"Saya mahu pertahanan kita sentiasa ingat bahawa pihak lawan akan letak dua penyerang bermakna kita perlu ada tiga pemain di bahagian belakang untuk mengawasi pergerakan penyerang Mexico.

"Dapat diperhatikan pertahanan kita agak leka mungkin disebabkan sudah terbiasa dengan amalan seorang penyerang lawan yang sering diaplikasikan di negara kita.

"Saya harap dalam aksi sebenar esok pemain akan ingat dan tidak lupa," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di sini, sebentar tadi.

Teong Kim yang turut menggalas tugas selaku Pengarah Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari berkata, hanya kemenangan menjadi sasaran skuad Harimau Malaya dalam aksi sulung itu.

"Kemenangan pasti dapat menyuntik motivasi tambahan kepada pemain untuk perlawanan seterusnya selain mengukuhkan peluang ke pusingan berikutnya," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 2:36 AM