KAPAL Pengawal Pantai China menyembur air terhadap sebuah bot Filipina di Second Thomas Shoal pada Disember 2023. FOTO AFP
KAPAL Pengawal Pantai China menyembur air terhadap sebuah bot Filipina di Second Thomas Shoal pada Disember 2023. FOTO AFP
Reuters

Manila: Filipina akan membangunkan pulau-pulau di Laut China Selatan yang dianggap sebahagian daripada wilayahnya untuk menjadikannya lebih sesuai untuk didiami tentera.

Ketua tentera negara itu, Jeneral Romeo Brawner berkata, rancangan itu dibuat di tengah-tengah ketegangan yang memuncak antara Filipina dan China.

Kedua-dua negara menuntut wilayah di Laut China Selatan dan kedua-dua pasukan keselamatannya terbabit dalam beberapa insiden di laluan air strategik itu.

Selain beting pasir Second Thomas Shoal, yang dikenali di negara ini sebagai Ayungin, Filipina menduduki lapan lokasi lain lain di Laut China Selatan dan menganggapnya sebahagian daripada zon ekonomi eksklusifnya.

"Kami ingin menambah baik kesemua sembilan (lokasi), terutamanya pulau yang kami duduki," kata Jeneral Brawner selepas menghadiri persidangan perintah yang diketuai oleh Presiden Ferdinand Marcos Jr di ibu pejabat tentera.

Lokasi itu termasuk Pulau Thitu, yang terbesar dan paling strategik penting di Laut China Selatan. Dikenali dengan nama tempatan sebagai Pag-asa, Pulau Thitu terletak kira-kira 480 kilometer (km) barat wilayah Palawan, Filipina.

Tentera mahu membawa mesin penyahgaraman untuk tentera yang tinggal di atas kapal perang yang Filipina sengaja letakkan di Second Thomas Shoal pada 1999. Tindakan meletakkan kapal perang itu untuk menegaskan tuntutan kedaulatan di perairan itu.

Brunei, China, Malaysia, Taiwan dan Vietnam turut mengemukakan tuntutan di Laut China Selatan. Ia penting sebagai laluan perdagangan dengan nilai dagangan melebihi AS$3 trilion (kira-kira RM14 trilion) setiap tahun.

Brawner berkata lagi, turut termasuk dalam rancangan pemodenan tentera ialah pemerolehan lebih banyak kapal, radar dan pesawat ketika Filipina mengalihkan tumpuannya kepada wilayah, daripada pertahanan dalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 1:03 PM