Mangsa disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Sibu. FOTO ihsan pembaca
Mangsa disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Sibu. FOTO ihsan pembaca
Mohd Rizal Abdullah


Sibu: Lelaki berusia 29 tahun maut dibelasah sekurang-kurangnya 10 lelaki di sebuah kedai minuman di Jalan Wong King Hua, Sibu, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa disahkan meninggal jam 5.22 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Sibu.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berpunca akibat salah faham dan provokasi di aplikasi WeChat antara mangsa dengan seorang daripada kumpulan lelaki terbabit.

Sumber itu berkata, mangsa yang ketika itu sedang minum bersama empat rakannya diserang menggunakan kayu dan besi.

"Mangsa diserang sehingga pengsan manakala rakannya melarikan diri. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Saiful Bahari Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 5:44 PM