Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Exco kerajaan negeri Johor, Datuk Abd Latif Bandi dibebaskan hari ini selepas membayar wang jaminan RM2 juta yang ditetapkan Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Peguamnya, Ibrahim Haikal berkata, Abd Latif membuat proses bayaran ikat jamin itu di Tingkat 1, Kompleks Mahkamah di sini, 2 petang tadi.

"Anak guam saya dibawa ke mahkamah pagi tadi dan berjaya membayar ikat jamin RM2 juta pada 2 petang tadi.

"Beliau kemudin meninggalkan mahkamah bersama ahli keluarganya kira-kira 2.30 petang," katanya yang turut bersama Abd Latif ketika proses membayar jaminan.

Semalam, Abd Latif terpaksa ditahan di Pusat Tahanan Reman Ulu Choh, Pontian selepas gagal menjelaskan ikat jamin RM2 juta yang ditetapkan Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku tidak bersalah bagi 33 pertuduhan bersubahat dengan seorang perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub, menerima rasuah membabitkan lebih RM30.3 juta.

Amir Shariffuddin yang turut mengaku tidak bersalah bagi 33 pertuduhan menerima rasuah bagaimanapun dibebaskan semalam selepas membayar ikat jamin RM2 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 4:11 PM