Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Exco Johor, Datuk Abdul Latif Bandi@Nor Sebandi, 51, ditahan di Pusat Tahanan Ulu Choh, Pontian, petang tadi, selepas gagal membayar wang jaminan berjumlah RM2 juta yang diarahkan mahkamah.

Abdul Latif yang berdepan 33 pertuduhan bersubahat dengan seorang perunding hartanah membabitkan nilai suapan berjumlah RM30.3 juta gagal membayar wang jaminan itu berikutan akaunnya dibekukan.

Peguamnya, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, exco berkenaan gagal membayar wang jaminan berjumlah RM2 juta dengan seorang penjamin seperti diarahkan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

"Memandangkan aset akaun anak guam dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ia memberi kesan kepada sumber kewangannya.

"Andai kata dapat bayar, barulah anak guam dapat keluar," katanya ketika dihubungi petang tadi.

Menurutnya, semua akaun milik Abdul Latif dibekukan termasuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji selain aset keluarga.

Sementara itu, perunding hartanah, Amir Sharifuddin Abd Raub, 44, yang turut berdepan 33 pertuduhan rasuah membabitkan nilai sama membayar jaminan bernilai RM2 juta, petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 8:02 PM