GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Hanya seorang murid pra sekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Tasik Cheras, Kuala Lumpur disahkan positif influenza A (H1N1), manakala empat lagi bebas daripada virus berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lima murid dimasukkan ke wad bagi mendapat rawatan lanjut selepas dikesan mempunyai jangkitan saluran pernafasan, namun tiga daripada mereka sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, katanya dua lagi masih dirawat di hospital, dan mereka beransur pulih.

"Gejala yang dikesan dalam kalangan mereka yang disaring adalah demam, batuk dan selesema.

"Ujian makmal yang dijalankan ke atas sebahagian dari kes bergejala itu mendapati hanya seorang murid dikesan positif H1N1, manakala sampel kes lain yang diuji adalah negatif bagi ujian pengesanan virus influenza," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, kes yang dikesan hanya membabitkan kelas pra sekolah sahaja, dan kelas terbabit ditutup dua hari pada 17 dan 18 April.

Katanya, ia bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan dan nyahkuman yang dilaksanakan secara bersama oleh pihak sekolah dengan pasukan dari Pejabat Kesihatan Cheras.

"Mengambil kira aktiviti pembersihan yang sudah selesai dijalankan, kelas berkenaan dibuka semula untuk sesi pembelajaran semalam.

"Namun, murid yang masih mempunyai gejala dinasihatkan untuk berehat di rumah sehingga sembuh sebelum kembali ke sekolah," katanya.

Menurutnya, pemantauan rapi masih dan akan diteruskan untuk sutu tempoh yang sudah dikenalpasti oleh pihak Pejabat Kesihatan Cheras bagi mengesan sekiranya terdapat kes baru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 1:51 PM