(DARI kiri)  Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo, Zolkples dan Pengurus Eksekutif (Operasi) MASOC 2017 Mohd Sofian Hamzah bergambar selepas sidang media berhubung perubahan jadual baru Sukan SEA Kuala Lumpur.
(DARI kiri) Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo, Zolkples dan Pengurus Eksekutif (Operasi) MASOC 2017 Mohd Sofian Hamzah bergambar selepas sidang media berhubung perubahan jadual baru Sukan SEA Kuala Lumpur.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Ratu memanah negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh atau Juwaidi Mazuki dijangka menghadiahkan emas pertama negara pada Sukan SEA, Ogos nanti walaupun venue sebenar acara berkenaan masih belum dimuktamadkan.

Menerusi jadual dimuktamadkan Jawatankuasa Penganjur Malaysia (MASOC) pada 16 Ogos, empat pingat emas ditawarkan menerusi acara chinlone dan memanah.

Chinlone akan menjadi acara pertama menawarkan emas temasya ke-29 dengan pemenang dua emas dijadualkan diketahui pada waktu tengah hari.

“Bagaimanapun tumpuan kita adalah terhadap acara compound individu lelaki dan wanita yang dijadualkan berakhir di sebelah petang. Kita mengharapkan permulaan yang baik untuk kontinjen negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MASOC Datuk Seri Zolkples Embong.

Beliau terdahulu mengumumkan perubahan jadual pertandingan susulan temasya dipendekkan sehari kepada 30 Ogos berbanding asal, membabitkan 17 jenis sukan serta 25 disiplin acara.

Sukan terbabit adalah akuatik (terjun dan renang terbuka), badminton, bowling, kriket , basikal (trek, lebuh raya dan BMX), ekuestrian (polo), bola sepak dan futsal lelaki dan wanita, hoki padang lelaki dan wanita, ice skating (figure skating dan short track speed skating), muay thai, bola jaring, sepak takraw, skuasy, taekwondo, triatlon, water ski and wakeboard, serta angkat berat.

Jelas Zolkples, perubahan dilakukan sudah dibincangkan dengan semua pihak berkepentingan, termasuk persatuan sukan kebangsaan.

“Angkat berat akan menjadi acara terakhir dipertandingkan pada 30 Ogos sebelum upacara perasmian penutup berlangsung di sebelah malam.

“Namun tumpuan pemburuan pingat emas bagi 11 negara yang mengambil bahagian adalah pada 29 Ogos dengan 61 emas ditawarkan membabitkan 17 acara. Silat menawarkan pingat tertinggi pada hari itu dengan 16 emas,” katanya.

Temasya Sukan SEA dijadualkan bermula dari 14 Ogos dengan aksi bola sepak dan bola jaring peringkat kumpulan manakala upacara perasmian pada 19 Ogos disusuli majlis penutup, 30 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 8:58 AM