Montreal: Kimi Raikkonen mencatat masa terpantas pada sesi latihan kedua Grand Prix Kanada ketika persaingan antara Ferrari dan Mercedes dilihat semakin memuncak.

Pelumba Finland itu yang menamatkan saingan di kedudukan satu-dua pada kemenangan Ferrari di Grand Prix Monaco bulan lalu, mencatat satu minit 12.935 saat sekali gus mengatasi Lewis Hamilton yang menguasai sesi pertama dengan kelebihan 0.215 saat.

Pendahulu kategori pelumba dan juara empat kali Sebastian Vettel menduduki tangga ketiga bersama Ferrari sambil diikuti rakan sepasukan Hamilton Valtteri Bottas.

Keempat-empat pelumba teratas itu hanya dibezakan dengan 0.375s pada sesi kedua sambil Vettel meluahkan rasa tidak puas hatinya dan mendakwa Hamilton sengaja memperlahankan jentera ketika sedar pelumba Jerman itu berada dekat di belakangnya.

“Dia terlalu kerap melakukan kesilapan dan memperlahankan jenteranya,” kata Vettel menerusi radio Ferrari.

Pelumba Belanda Max Verstappen menduduki tangga kelima bersama Red Bull, tetapi dia berdepan masalah kotak gear di hujung pusingan.

Verstappen meninggalkan Felipe Massa dari Williams dan juara dua kali Fernando Alonso yang mempamer kebangkitan lewat bersama jentera McLaren Honda.

Esteban Ocon dan rakan sepasukannya di Force India Sergio Perez menduduki tangga kelapan dan ke-10 sambil pelumba Russia Daniil Kvyat dari Toro Rosso di tempat kesembilan.

Sesi latihan kedua dipenuhi pelbagai insiden dengan jentera pemandu Perancis Romain Grosjean dari Haas berpusing sebanyak tiga kali manakala beberapa pelumba termasuk Vettel dan Verstappen berdepan masalah teknikal. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2017 @ 11:52 PM