MARINA Bay, Singapura. FOTO AFP
MARINA Bay, Singapura. FOTO AFP
Agensi

Singapura: Singapura mencatat rekod suhu 37 darjah Celsius di Ang Mo Kio, pada Sabtu, tertinggi dalam tempoh 40 tahun.

The Straits Times melaporkan, ia menyamai rekod suhu maksimum harian tertinggi di Singapura, yang direkodkan di Tengah, pada 17 April 1983.

Selain itu, ia juga suhu tertinggi pernah direkodkan pada bulan ini dan hari paling panas tahun ini.

Ahli meteorologi memaklumkan, suhu melepasi paras 36 darjah Celsius di beberapa bahagian negara pulau itu, semalam.

Menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) di Facebook, paras tertinggi pada Mei yang dicatatkan sebelum ini adalah 36.7 darjah Celsius, direkodkan dalam Admiralty pada 2022.

NEA berkata, keadaan panas dan kering dijangka berterusan hari ini, dan hujan jangka pendek dijangka minggu depan yang mungkin membantu meredakan suhu panas.

Pada Jumaat, Singapura mencatatkan paras tertinggi 36.2 darjah Celsius di Choa Chu Kang.

Paras tertinggi tahun sebelumnya direkodkan pada 14 April, apabila suhu mencecah 36.1 darjah Celsius di Woodlands.

Rekod suhu Singapura bermula pada tahun 1929.

Perkhidmatan Meteorologi Singapura sebelum ini meramalkan cuaca panas dan lembap yang dialami pada April dijangka berterusan sehingga separuh pertama Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 10:25 AM