PEGAWAI Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) KL2017, Datuk Seri Zolkples Embong (dua kanan) menyaksikan pertukaran memorandum antara Azizulhasni (dua kiri) dengan Pengasas Sports Ration Powerfood, Jazrul Fuad.
PEGAWAI Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) KL2017, Datuk Seri Zolkples Embong (dua kanan) menyaksikan pertukaran memorandum antara Azizulhasni (dua kiri) dengan Pengasas Sports Ration Powerfood, Jazrul Fuad.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang percaya barisan pelumba trek negara di Melbourne, Australia mampu meneruskan legasi kejayaannya.

Malah The Pocket Rocketman percaya, mereka mampu pergi lebih jauh dengan meraih pencapaian lebih baik di pentas antarabangsa kerana memiliki potensi besar.

“Bagi saya, barisan pelumba baru termasuk Shah Firdaus (Sahrom) mempunyai potensi besar, cuma memerlukan masa dan pendedahan. Ia umpama menunggu masa saja.

“Sama seperti saya untuk mencapai kejayaan hari ini, ia mengambil masa kerana tiada jalan pintas dalam sukan. Saya sendiri tidak tahu berapa lama mampu berkayuh, mungkin satu atau dua Olimpik saja,” kata juara dunia acara keirin itu.

Selain Azizulhasni dan Shah Firdaus, ketua jurulatih negara John Beasley kini memberikan fokus untuk membentuk tiga pelumba muda negara - Muhammad Khairil Nizam Rasol, Muhammad Fadil Mohd Zonis dan Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin - bagi menghadapi kejohanan besar seperti Piala Dunia, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Olimpik.

“Saya sendiri cuba mencurah semua ilmu kepada mereka sama ada secara langsung atau sebaliknya. Terpulang kepada mereka untuk memanfaatkannya dan membawa diri.

“Saya cuma berharap mereka mampu pergi lebih baik kerana memiliki fizikal yang lebih bagus berbanding saya. Jika saya boleh, mengapa mereka tidak,

“Saya rasa mungkin mereka perlukan masa dalam tempoh dua atau tiga tahun untuk menaiki podium di kejohanan besar,” katanya.

Mengulas mengenai penyertaannya di Sukan SEA, pemenang gangsa Olimpik Rio itu menjelaskan tetap menghormati pencabar negara lain walaupun dilihat mampu menang mudah acara keirin.

Terdahulu Azizulhasni diumumkan duta makanan tambahan, Sports Ration Powerfood dengan kontrak setahun dan mungkin dilanjutkan sehingga Olimpik 2020.

“Ia sesuai dengan diri saya. Malah semasa persediaan dan menyertai Kejohanan Dunia di Hong Kong, saya turut menggunakannya,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 9:57 AM