SKUAD hoki wanita negara berdepan tugas sukar di Brussels.
SKUAD hoki wanita negara berdepan tugas sukar di Brussels.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengakui barisan pemainnya berada dalam ‘kumpulan maut’ pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium.

Aksi di kejohanan itu yang akan berlangsung pada 21 Jun hingga 2 Julai juga menjadi kempen kelayakan untuk mencari tiket ke Piala Dunia 2018 London.

Bagi Dhaarma, anak buahnya yang diletakkan dalam Kumpulan B bersama gergasi dunia Australia, New Zealand, Sepanyol serta Belgium selaku tuan rumah bagaikan berdepan dengan laluan sukar.

Bagaimanapun, Dhaarma berkata, beliau sudah menyedari perkara itu lebih awal kerana ranking rendah Malaysian Tigress. Skuad negara menduduki ranking ke-22 dunia dan sehubungan itu tiada pilihan selain berdepan pasukan gergasi lain.

“Saya pun membuat perkiraan dan memaklumkan kepada pemain sebulan yang lalu.

“Jelas sekali kami akan melalui saingan sukar bertemu pasukan gergasi seperti Australia, New Zealand dan Sepanyol.

“Ranking paling dekat dengan kami adalah Belgium tapi mereka pasti mempunyai kelebihan selaku tuan rumah,” katanya.

Jelas Dhaarma, barisan pemainnya tidak mempunyai pilihan lain selain perlu melakukan kejutan sekiranya mahu merealisasikan impian layak ke Piala Dunia buat kali pertama.

“Kadang-kala amat baik apabila anda hadir di satu-satu kejohanan tanpa tiada sesiapa meletakkan harapan tinggi kepada anda serta kurang tekanan.

“Apapun inilah cabaran yang perlu kami lalui dan berharap dapat mencipta sejarah layak ke Piala Dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 8:31 AM