Hamzah  (tiga dari kanan) dan Lusk (tiga dari kiri) ketika merasmikan pelancaran program Coca-Cola KU di Putrajaya, semalam.
Hamzah (tiga dari kanan) dan Lusk (tiga dari kiri) ketika merasmikan pelancaran program Coca-Cola KU di Putrajaya, semalam.
Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Pengeluar air minuman terkemuka, Coca-Cola Malaysia menyasarkan untuk melahirkan 20,000 usahawan menjelang 2020 menerusi program Coca-Cola Komuniti Usahawan (Coca-Cola KU).

Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan penyertaannya membabitkan usahawan mikro serta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketua Pegawai Eksekutif Coca-Cola Bottlers (Malaysia) Sdn Bhd Stephen Lusk berkata, modul latihan disediakan meliputi kaedah memulakan perniagaan, menyimpan rekod harian, mengurus pendapatan dan perbelanjaan, selain aliran tunai dan kredit serta pengurusan kualiti dan perkhidmatan.

“Pada masa sama, kami turut menyediakan modul untuk memahami perniagaan, kaedah pemasaran, membangunkan peruntukan, merangka pelan perniagaan, mengurus inventori serta langkah mengembangkan perniagaan.

“Melalui usaha ini, kita berharap dapat membantu meningkatkan ekonomi serta pendapatan komuniti termasuk usahawan mikro yang terbabit dalam program ini,” katanya selepas pelancaran Coca-Cola KU di sini, semalam.

Program itu dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sementara itu, Hamzah berkata, program itu dilaksanakan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) selepas perbincangan dibuat selama tiga bulan.

Menurutnya, program berkenaan turut menampilkan tokoh usahawan berjaya yang akan memberi penerangan serta motivasi kepada peserta terdiri daripada mereka yang baru atau hendak memulakan perniagaan.

“Penganjuran program ini satu daripada usaha memastikan agenda kita iaitu bukan hanya mencari kerja, tetapi mencipta pekerjaan dapat dicapai.

“Latihan asas perlu dihadiri peserta terbabit yang dibuat dalam sehari manakala tiga hari seterusnya ialah kursus lanjutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 7:15 AM