Mira Filzah
Mira Filzah
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Kemenangan pelakon Mira Filzah bagi kategori Heroin Pilihan pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL 2017) yang berlangsung semalam menimbulkan pertikaian dalam kalangan peminat.

Di laman Twitter kebanyakan peminat tidak berpuas hati apabila pelakon drama Cinta Si Wedding Planner itu menewaskan pelakon Siti Saleha yang disebut-sebut bakal memenangi kategori itu menerusi drama 7 Hari Mencintaimu.

Mira, 24, ketika dihubungi berkata, kemenangannya itu membuktikan usaha dan kerja keras peminat yang inginkan dia membawa pulang trofi itu.

"Saya ada juga terbaca mengenai perkara ini di Twitter, tapi tak sempat nak baca habis. Sejujurnya saya memang tak sangka menang. Ini kerana calon lain pun hebat dan berbakat besar. Sebagai contoh Siti Saleha dan Ummi Nazeera.

"Cuma memandangkan DFKL adalah anugerah berdasarkan undian peminat, jadi saya menang disebabkan usaha dan kerja keras peminat. Saya berterima kasih kepada mereka," katanya.

Mira yang tidak hadir pada acara itu semalam kerana terikat dengan penggambaran berkata, usaha peminatnya itu atas inisiatif sendiri mereka tanpa disuruh.

"Peminat saya buat kerja tanpa disuruh. Itu inisiatif mereka kerana mereka sayangkan saya.

"Secara peribadi saya tak berkempen pun untuk meraih undi. Bukan apa, saya tak menaruh sebarang harapan untuk menang. Saya berserah saja kepada rezeki.

"Jadi ini adalah rezeki saya atas usaha peminat. Saya tahu mereka tak berhenti mengundi saya," katanya.

Mira juga mengakui sekiranya DFKL 2017 berdasarkan penilaian juri profesional, dia yakin dirinya tidak menang kerana merasakan ada pelakon lain yang lebih layak menang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 11:28 PM