NOTIS larangan tidak membenarkan ibu bersalin ditemani individu lain di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar yang tular di laman sosial sejak semalam.
NOTIS larangan tidak membenarkan ibu bersalin ditemani individu lain di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar yang tular di laman sosial sejak semalam.
Zuliaty Zulkiffli


JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesahkan tidak lagi membenarkan ibu bersalin ditemani individu lain di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar berkuat kuasa mulai semalam.

Pengarahnya Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, langkah itu terpaksa diambil susulan kejadian seorang lelaki berusia 23 tahun mengamuk selepas permohonan untuk isterinya bersalin secara pembedahan tidak diluluskan, Sabtu lalu.

Katanya, pihak hospital membuat keputusan itu selepas mendapati ibu berkenaan tidak mempunyai indikasi untuk bersalin secara pembedahan menyebabkan suaminya bertindak menumbuk dan merosakkan pintu bilik bersalin serta tidak mengendahkan arahan menunggu di luar wad selepas insiden berlaku.

“Susulan itu, HSB mengambil tindakan memberhentikan sementara kebenaran menemani isteri bersalin untuk menyemak semula prosedur kebenaran peneman kepada ibu bersalin supaya kejadian sebegini tidak berulang.

“Pihak hospital juga membuat laporan polis berhubung kejadian dan lelaki berkenaan akan dipanggil untuk berbincang bagi mengenal pasti sebarang masalah yang menyebabkan dia bertindak sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wanita berusia 24 tahun itu datang ke HSB pada jam 8.27 malam Jumaat lalu, sebelum berlaku kekecohan di wad membabitkan suaminya pada jam 1.15 pagi keesokkannya.

Notis mengenai larangan itu tular di laman sosial sejak semalam dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai yang mendakwa tindakan lelaki terbabit menyebabkan mereka tidak dapat membawa peneman.

Dr Norhizan berkata, wanita itu selamat melahirkan bayi keduanya secara normal dan kedua-dua ibu serta bayi sudah dibenarkan pulang.

“"Sehubungan itu saya ingin menasihatkan ahli keluarga kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan sama ada di hospital atau klinik supaya mengawal diri bagi mengelakkan perkara tidak diingini berulang.

“Kerjasama serta bantuan semua pihak adalah perlu bagi pihak kami untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik buat semua pesakit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 9:31 PM