Penjual burger diiringi anggota polis sejurus dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Penjual burger diiringi anggota polis sejurus dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin


Alor Gajah: Seorang penjual burger dipenjara 18 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas anak tirinya berusia 13 tahun 10 bulan, Mac lalu.

Pengakuan bersalah tertuduh berusia 34 tahun itu dirakam di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob selepas tertuduh mengangguk faham pertuduhan pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencabul anak tirinya berusia 13 tahun 10 bulan dengan cara menghisap payudaranya dalam bilik sebuah rumah di Taman Pengkalan Indah, di sini, jam 3 pagi, 30 Mac 2017.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau sebatan atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan seks oral dengan memasukkan zakar ke dalam mulut mangsa sama, dalam bilik berasingan di rumah sama, jam 3.30 pagi tarikh yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ke atasnya diringankan berikutan pengakuan bersalah yang dibuat menjimatkan masa dan kos mahkamah.

“Saya mengaku semua kesalahan dan sesal serta bertaubat. Saya rayu dikurangkan hukuman yang lebih ringan," kata tertuduh.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syaiful Akmal Mohd Razi merayu hukuman setimpal dikenakan atas faktor kesalahan dilakukan ke atas anak tiri tertuduh, dan tertuduh sepatutnya menjadi pelindung.

"Tertuduh bukan hanya melakukan kesalahan ke atas anak tiri, malah mangsa terlalu muda dipaksa, diikat tangan, turut diugut supaya berdiam diri atau tertuduh akan membunuh ibunya," kata Syaiful Akmal.Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Wan Mohd Norisham kemudian memerintahkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan lapan sebatan dan hukuman penjara diperintah berjalan serentak bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 6:41 PM