AFP

Paris: Mario Balotelli (gambar kanan) menyempurnakan penalti ketika Nice bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Bordeaux 2-1 kelmarin sekali gus merapatkan jurang kepada empat mata di belakang pendahulu Ligue 1 Monaco.

Gaetan Laborde menjaringkan gol seawal minit kesembilan untuk memberikan Bordeaux gol pendahuluan di Nice, namun Balotelli segera menyamakan kedudukan menerusi penalti selepas Arnaud Souquet dikasari lawan.

Valentin Eysseric menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-27 ketika Nice terus menghidupkan peluang memburu gelaran selepas keputusan seri berturut-turut menjejaskan cabaran mereka.

Nice berada di tangga ketiga dengan 67 mata tetapi beraksi lebih satu perlawanan berbanding Monaco dan juara bertahan Paris Saint-Germain, yang membelasah skuad kendalian Leonardo Jardim 4-1 pada aksi final Piala Liga kelmarin.

Kecederan lutut serius dialami Alassane Plea dan Wylan Cyprien menyebabkan Nice kehilangan dua pemain utama mereka namun skuad Lucien Favre menghampiri kelayakan Liga Juara-Juara musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 8:13 AM