Kuala Lumpur: FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV), pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar dunia menyumbang sebanyak RM250,000 bagi membantu mangsa banjir di pantai timur di mana ia disalurkan melalui dua misi bantuan iaitu Konvoi Misi Bantuan Kemanusiaan FGV dan sumbangan kepada Pejabat Menteri Besar Terengganu, baru-baru ini.

Konvoi Misi Bantuan Kemanusiaan FGV dianggotai 65 sukarelawan FGV yang menghantar 20 tan makanan dan 19 tan air minuman dengan menggunakan empat buah lori dan 13 buah kenderaan pacuan empat roda bagi membantu lebih 2,000 warga FELDA terjejas ekoran banjir kali ini.

Kawasan yang menerima bantuan adalah Pejabat Wilayah Gua Musang, Pejabat Wilayah Lipis, Pejabat Wilayah Muadzam, Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak, Kilang Sawit Tementi, Ladang Terapai 01, Kampung Awah dan Jengka 21.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Mohd Emir Mavani Abdullah berkata situasi banjir kali ini adalah antara paling terburuk dalam sejarah negara dan ia membuatkan FGV berasa bertanggungjawab untuk membantu mangsa banjir terbabit.

“Kami sedar akan kesukaran mangsa khususnya penduduk di kawasan FELDA pada ketika ini dan saya harap semoga bantuan ini dapat meringankan beban mereka,” katanya pada satu kenyataan di sini, semalam.

Selain konvoi, FGV menyumbang barangan keperluan harian bernilai lebih RM44,000 kepada kerajaan negeri Terengganu bagi membantu mangsa banjir di kawasan terbabit di mana bantuan itu diagih-agihkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman secara berperingkat melalui program di bawah kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:08 AM