PEMAIN Sabah perlu contoh semangat James, Hassan, Matlan.
PEMAIN Sabah perlu contoh semangat James, Hassan, Matlan.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur: Kelincahan penyerang Sabah pada era keemasan Harimau Malaysia dari 1977-1990 sering menjadi senjata utama kepada kekuatan pasukan apabila menyertai kejohanan antarabangsa.

Paling diingati peminat bola sepak negara gandingan Hassan Sani dan James Wong - kedua-duanya dari Sabah - apabila membantu pasukan negara menumbangkan Korea Selatan 2-1 pada aksi terakhir pusingan kelayakan Sukan Olimpik 1980 di Kuala Lumpur yang menyaksikan Malaysia layak secara merit ke temasya berprestij itu.

Malaysia bagaimanapun tidak ke Moscow akibat menyertai boikot antarabangsa kerana membantah pencerobohan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan.

Menurut Hassan, terkenal dengan jolokan ‘Lipas Kudung’, sudah tiba masanya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil berat bakat pemain dari negeri Di Bawah Bayu itu yang dianggapnya memiliki kualiti untuk diketengahkan.

“Dulu Malaysia ada ramai penyerang dari Sabah seperti saya, James, Matlan Marjan dan ramai lagi. Pemain Sabah selalu diberi perhatian jurulatih negara pada zaman kami kerana dikatakan mempunyai kepantasan dan laju di bahagian depan.

“Tapi sekarang nak tengok pemain Sabah mewakili Malaysia agak susah walaupun saya yakin sebenarnya banyak bakat istimewa yang ada di negeri ini.

“Rugi kalau FAM membiarkan saja bakat ini tanpa adanya perancangan program yang baik dan tersusun dari badan induk negara itu.

“Saya harap sangat Presiden FAM (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) tidak terlepas pandang dan beri peluang kepada pemain Sabah untuk menunjukkan kemampuan mereka dengan mewakili negara,” katanya.

Kongres FAM Ke-53 Sabtu lalu menyaksikan Tunku Ismail memenangi kerusi presiden selepas pencabarnya Tan Sri Annuar Musa menarik diri daripada merebut jawatan nombor satu itu.

Sebaik disahkan, Tunku Ismail mengumumkan Sabah bakal menjadi tuan rumah mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM 2017-2021 yang akan diadakan di Kota Kinabalu pada 8 April depan.

Jelas Hassan, penghormatan diberikan itu menandakan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mahu menjadikan Sabah sebagai lokasi permulaan kepada revolusi bola sepak negara.

“Pemilihan Sabah amat tepat (sebagai lokasi pertama mesyuarat) dan saya yakin TMJ ingin memulakan perubahan dengan merancang pelbagai program di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 10:51 AM