FOTO Shahrizal Md Noor
FOTO Shahrizal Md Noor
Muhaamad Hafis NawawiFardy BunggaSofyan Rizal Ishak dan Hamzah Osman


Langkawi: Pengunjung LIMA'17 , hari ini, berpeluang menyaksikan buat pertama kali gabungan dua negara beraksi bersama dalam pertunjukan aerobatik.

Black Eagles dari Korea Selatan dengan pesawat KAI-T50B dan Jupiter dari Indonesia dengan pesawat KT-1B yang memukau penonton menerusi penerbangan digelar ‘friendship fly’.

Pertunjukan itu boleh dianggap sebagai hadiah kepada pengunjung LIMA yang masuk hari keempat menyebabkan penonton teruja dan tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar serta video.

Sesi pertunjukan bermula dengan kemasukan pesawat Jupiter diikuti Black Eagles sebelum mereka membuat beberapa formasi menarik dan aksi persembahan secara bersilih ganti selama 15 minit.

Sebaik pertunjukan itu kedua-dua pasukan kemudian bersalaman sebelum masing-masing bertukar topi sebagai tanda kenangan sempena LIMA kali ini.

Malah, Panglima Tentera Udara Datuk Seri Affendi Buang yang menyaksikan pertunjukan itu turut bergambar bersama juruterbang kedua-dua pasukan.

Black Eagles memenangi trofi Boeing bagi persembahan terbaik pada Pameran Udara Antarabangsa Waddington ke-17 pada 1 Julai 2012.

Pertunjukan Jupiter kali ini juga dinantikan pengunjung selepas mereka menarik diri LIMA '15 selepas dua pesawat terhempas ketika melakukan latihan aerobatik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 8:27 PM