Pasukan aerobatik Black Eagle dari Korea Selatan menggegarkan ruang udara Langkawi hari ini. (Gambar kecil) Pesawat ringan pengangkutan marin yang dikenali Airfish 8 dari Singapura. FOTO Hamzah Osman dan ihsan pembaca Zaini Zainol
Pasukan aerobatik Black Eagle dari Korea Selatan menggegarkan ruang udara Langkawi hari ini. (Gambar kecil) Pesawat ringan pengangkutan marin yang dikenali Airfish 8 dari Singapura. FOTO Hamzah Osman dan ihsan pembaca Zaini Zainol
Hamzah Osman


Langkawi: Ruang udara Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di Padang Matsirat, di sini, hari ini, mula digegarkan dengan deruman enjin pesawat pejuang yang mengadakan sesi latihan bagi pertunjukan udara sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017.

Walaupun pameran dwi-tahunan itu hanya akan berlangsung secara rasmi Selasa ini, namun kehangatannya semakin dirasai apabila sekumpulan juruterbang pasukan aerobatik Black Eagle dari Korea Selatan tampil mengadakan latihan menggunakan pesawat pejuang KAI T-50B selama kira-kira 10 minit bermula jam 5.15 petang tadi.

Tinjauan di jalan menuju ke kuarters kakitangan LTAL di Padang Matsirat di sini, mendapati lebih 300 penduduk termasuk dewasa dan kanak-kanak berdiri di sepanjang laluan itu bagi menyaksikan pasukan aerobatik terbabit mengadakan latihan.

Pengurus Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) Langkawi, Jefry Ramli, ketika dihubungi mengesahkan pasukan aerobatik Black Eagle dan Jupiter dari Indonesia sudah tiba di LTAL untuk beraksi pada pertunjukan udara sempena LIMA 2017.

Tinjauan di perkarangan Resort World Langkawi yang juga lokasi bagi segmen maritim mendapati pekerja kontrak sibuk menyiapkan gerai pameran yang tinggal kira-kira 30 peratus untuk disiapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 6:59 PM