Muhaamad Hafis NawawiFardy BunggaSofyan Rizal Ishak dan Hamzah Osman


Langkawi: Helikopter Nuri yang masih digunakan TUDM untuk tujuan menghantar bekalan dan latihan sejak 1967 dinaik taraf daripada sistem analog kepada digital.

Program naik taraf avionik pesawat Nuri S61A-4 adalah kerjasama antara AIROD Sdn Bhd dan Heli One Norway.

Ia adalah perancangan Kementerian Pertahanan bagi meningkatkan keupayaan penerbangan terutamanya dalam penggunaan peralatan supaya ia dapat diaturgerakkan dalam apa jua keadaan.

Ketua Pegawai Eksekutif AIROD Sdn Bhd, Datuk Ibrahim Bahari, berkata helikopter Nuri S61-4 adalah prototaip pertama dinaik taraf.

Katanya, kerja berkenaan memakan masa sekurang-kurangnya 11 bulan dan akan berfungsi secara penuh menggunakan sistem digital.

Menurutnya, 26 helikopter Nuri akan ditukarkan kepada sistem digital dalam tempoh tahun ini.

“Sistem avionik secara digital ini membolehkan Nuri meneruskan operasinya bagi 15 tahun lagi dan memudahkan juruterbang mengendalikannya berbanding dulu,” katanya.

Beliau berkat demikian selepas Upacara Penyerahan Pesawat Nuri S61-4 (Program Naik Taraf Avionik) di perkarangan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini, sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA '17).

Majlis penyerahan itu disaksikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang turut duduk di dalam helikopter itu dan melihat sendiri sistem digital terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 1:16 PM